PRU15 tahun ini tidak wajar, PN minta menteri, Ahli Parlimennya sokong dalam mesyuarat Kabinet - Utusan Malaysia

PRU15 tahun ini tidak wajar, PN minta menteri, Ahli Parlimennya sokong dalam mesyuarat Kabinet

Penguatkuasaan akta larangan ahli Parlimen melompat parti dapat menstabilkan politik negara dan menubuhkan kerajaan yang lebih kukuh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi PN ber­kata, beliau meminta semua jemaah Menteri dan ahli parlimen dalam gabungan itu me­nyatakan sokongan ketetapan PN tersebut dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata, PRU15 tidak wajar diadakan pada tahun ini kerana Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik Covid-19

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Muhyiddin, penyelesaian kepada permasalahan tersebut mesti diberikan tum­puan oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar malah kerajaan tidak perlu menyegerakannya buat masa ini.

Menurut Presiden Pas itu, parti itu berpendapat sedemikian selepas mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang boleh menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

“Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus me­ngalahkan Pakatan Harapan (PH).

“Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,” katanya dalam kenyataan semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×