PETALING JAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak akan terlepas untuk dibawa ke muka pengadilan sekiranya siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu itu ada asas untuk didakwa di mahkamah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagaimana berkata, tindakan lanjut ke atas bekas Peguam Negara itu sama ada akan didakwa atau sebaliknya terletak di tangan Pejabat Peguam Negara.
“Tidak kira kedudukan seseorang itu sebagai bekas Perdana Menteri atau bekas Peguam Negara, mereka perlu berdepan sistem keadilan seadil-adilnya. Untuk kes Tommy, kertas siasatan sudah dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Namun, kita tidak tahu DPP berpuas hati atau tidak dengan kertas siasatan yang dihantar oleh PDRM itu. Adakah ada atau tidak elemen jenayah yang disiasat terhadap bekas Peguam Negara itu.
“Jadi, kita tidak tahu DPP akan tolak atau terima. Mungkin juga akan minta PDRM buat siasatan lanjut dan jika ada boleh bawa ke mahkamah atau mungkin juga tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai situasi semasa siasatan terhadap Tommy selepas PDRM mengemukakan empat kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu kepada DPP dengan cadangan dituduh di mahkamah.
Difahamkan, polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara berkenaan namun hanya empat yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan kini DPP sedang meneliti fakta kes dan menyemak kertas siasatan itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau tidak berpihak kepada Tommy namun, memegang prinsip seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.
“Justeru, kini terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa Tommy jika mendapati wujud elemen salah laku. Jika Tommy dihadapkan ke mahkamah sekali pun, beliau belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia yang memperoleh buku laporan setebal 822 muka surat Pasukan Petugas Khas menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan berlaku salah laku bekas Peguam Negara itu.
Antaranya campur tangan dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia kerajaan, menyalahgunakan kuasa melantik peguam luar untuk mewakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.
Berdasarkan laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku tulisan Tommy melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen. – UTUSAN










