KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong penuh keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, keputusan itu juga harus merangkumi Sabah, selaras dengan memorandum antara PBRS dan BN sebelum ini.
Beliau berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).
Pada masa ini, tiga parti komponen PN berada dalam GRS iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Baru-baru ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menghadiri Mesyuarat Bersatu Sabah menyatakan kemenangan Bersatu menerusi GRS akan menyumbang kepada kemenangan PN.
“Kita juga harus mengambil kira maklum balas yang menunjukkan 99 peratus pemimpin- pemimpin bahagian dan penyokong akar umbi PBRS, tidak bersetuju dengan gabungan (BN-GRS) tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, PBRS berpendirian teguh agar Barisan Nasional bergerak secara solo bagi mendepani PRU-15.
“Kita harus mengekalkan imej BN yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama di dalam negara ini.
Sebelum ini, kedua-dua pemimpin BN diwakili Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berulang kali menyatakan akan bekerjasama menjelang PRU-15, termasuk dari segi agihan kerusi.
Pada Jumaat, Ahmad Zahid memutuskan BN bergerak secara solo bagi menghadapi PRU-15. Ia susulan keputusan Pas untuk memperkukuh kerjasama dalam PN.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuah ummah. –UTUSAN










