KUALA LUMPUR: Pas menolak kata dua UMNO sebaliknya meneruskan usaha penyatuan ummah membabitkan ketiga-tiga parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini, semalam.
Abdul Hadi berkata, keputusan meneruskan usaha penyatuan membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu itu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.
“Pas juga berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.
“Justeru, Pas tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menghadapi PRU, seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15,” katanya dalam kenyataan semalam.
UMNO sebelum ini menetapkan tiga syarat untuk membolehkan mereka menjalinkan semula kerjasama politik dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU15.
Ia termasuk Pas perlu keluar dari gabungan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut mendesak Pas menyatakan pendirian untuk memilih UMNO atau Bersatu dalam menghadapi PRU15.
Sebaliknya Abdul Hadi tidak berganjak mempertahankan usaha penyatuan ummah ketiga-tiga parti berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, mesyuarat semalam juga memutuskan untuk tidak membangkitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam tempoh terdekat.
“Ini bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya.
Dalam hantaran facebook, Abdul Hadi mengingatkan UMNO dan Bersatu untuk tidak saling berbantah antara satu sama lain.
Peringatan itu ditekankan Presiden Pas itu menerusi ayat 46 surah al-Anfal dalam akaun sosialnya, semalam.
“Kepada UMNO dan Bersatu, Pas mengingatkan firman Allah (yang bermaksud) ‘Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah beserta orang-orang yang sabar.’ (Surah al-Anfal: 46),” kongsinya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perpaduan ummah adalah baik dan wajar disokong oleh semua pihak tetapi UMNO yang menolak mereka menyebabkan perpaduan itu gagal dicapai.
“Malangnya, sejak dari awal lagi UMNO enggan perpaduan ummah ini dengan menolak Bersatu. Ini adalah keputusan perhimpunan agung mereka, sudah ditegaskan berkali-kali oleh pucuk pimpinan mereka,” katanya. – UTUSAN










