Pas jumpa pemimpin UMNO dalam masa terdekat

Pas jumpa pemimpin UMNO dalam masa terdekat

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pemimpin Pas akan bertemu dengan pemimpin UMNO dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian supaya mereka dapat bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut perlu dibuat bagi mengelak Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertembung sesama sendiri, sekali gus dapat mengurangkan peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU15 kelak.

“Kita ada menteri daripada Pas, UMNO dan Bersatu yang selalu berjumpa bagi membincangkan hal kementerian masing-masing. Jadi insya-Allah, kita akan jumpa mereka,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya Pas Selangor di Stadium Jugra, di sini malam tadi.

TUAN Ibrahim Tuan Man (empat dari kiri) memukul gong sebagai simbolik kepada pelancaran jentera pilihan raya Selangor di Stadium Jugra, Kuala Langat, Selangor, semalam. – UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Dalam perkara lain, Tuan Ibrahim turut memberi teguran terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meletakkan tiga syarat yang perlu dipenuhi Pas bagi membolehkan kerjasama di antara partinya dengan UMNO dapat terjalin semula.

Menurutnya, UMNO tidak sepatutnya meletakkan syarat ibarat syarat yang diletakkan Puteri Gunung Ledang ketika Sultan Melaka terdahulu, Sultan Mahmud mahu meminangnya.

“Kalau dua parti (bersama) baik, tapi kalau tiga parti lebih baik (bertanding bersama ketika PRU15). Ada tujuh kerusi Parlimen yang Pas, Bersatu dan UMNO tidak menang, jadi hal ini perlu dibincangkan bersama (supaya kemenangan milik di antara tiga parti itu),” tegasnya.

Semalam, Ahmad Zahid meletakkan tiga syarat yang perlu dipenuhi Pas bagi membolehkan UMNO dan Pas dapat bekerjasama semula.

Tiga syarat itu adalah keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN