Pakar falak sindir foto pemenang papar bulan, bintang di ibu kota -

Pakar falak sindir foto pemenang papar bulan, bintang di ibu kota

TANGKAP layar foto antara pemenang peraduan anjuran Tourism Malaysia yang teruk dikritik warganet kerana jelas penipuannya. - Ihsan Shahrin Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pakar falak terkenal tempatan menempelak Tourism Malaysia kerana memilih foto yang memaparkan bulan yang dikelilingi banyak bintang sebagai antara pemenang peraduan.

Shahrin Ahmad menerusi satu hantaran status dalam laman sosialnya menyifatkan keputusan aneh itu sebagai bahan jenaka yang memalukan imej negara.

“Kebodohan apakah ini? Siapa hakim dia? Aku hendak gigit telinga dia… Memang patut pun kita selalu kena ‘scam’ (tipu)… Semua yang pos semua percaya… Haishhh,” nukilnya agak kesal.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa falak Selangor dan pentadbir laman sesawang popular Falak Online turut memuat naik tangkap layar foto tersebut daripada akaun sosial Tourism Malaysia.

Difahamkan, foto berkenaan antara yang dipilih sebagai pemenang untuk Peraduan Malaysia di Mata Anda dianjurkan oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu.

Ia memaparkan panorama waktu malam pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan mercu tanda Menara Berkembar Petronas dan dilatari bulan sabit ada kerlipan banyak bintang di sekelilingnya.

 Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati hantaran yang cukup kontroversi itu sudah pun dipadam Tourism Malaysia setelah teruk dikritik ramai warganet melalui ruangan komen termasuk dalam kalangan jurugambar profesional agensi media tempatan yang menyifatkan foto itu sebagai jelas bentuk penipuan dengan proses suntingan imej bulan yang tampak terlalu ketara.

Secara logik, bintang yang merupakan objek bercahaya terang daripada ribuan galaksi di alam semesta terletak jauh sangat dari bulan dan tidak mungkin berada begitu dekat di depan bulan.

Mengulas lanjut, Shahrin dalam status terbaharu turut menegur agensi berkenaan agar lebih berhati-hati walaupun niat pihak tersebut adalah baik untuk mempromosikan keindahan Malaysia.

“Hendak promosi Malaysia boleh sahaja semua akan sokong tetapi jangan promosi dengan foto temberang dan lain kali carilah juri yang boleh pakai sikit,” komen beliau dalam nada nasihat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya