RAUB: Lebih 30,000 pekebun Musang King di sini berputih mata apabila pokok durian diusahakan mereka mengalami kekurangan hasil sehingga lebih 60 peratus untuk bulan Mei hingga Ogos lalu.
Masalah yang menyebabkan raja buah itu tidak menjadi disebabkan serangan serangga jenis koya dan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan bunga durian gugur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub, Nicky Koh Kuan Heng berkata, dianggarkan dalam tempoh tersebut 30,000 pekebun durian hanya mengumpul 100,000 tan durian berbanding musim sebelum itu kira-kira 300,000 tan.
Menurut beliau, akibat kemerosotan itu, semua pekebun rugi dengan setiap seorang dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM200,000 ke RM300,000 seorang bergantung keluasan kebun yang diusahakan.
“Pekebun di sini memiliki kebun durian antara dua hingga empat hektar dan mereka alami kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000.
“Banyak duit dikeluarkan untuk membeli baja dan racun tambahan demi menyelamat atau memulihkan pokok-pokok yang diserang serangga dan tiada bunga akibat hujan terlalu kerap,” kata beliau ketika ditemui semalam.
Kata beliau, kebiasaannya setiap satu musim seperti Mei hingga Ogos, seorang pekebun mampu mengutip sehingga 10 tan Musang King namun kali ini ada pekebun mengadu durian tidak menjadi hanya dan hanya mendapat satu tan.
“Permintaan Musang King dari Raub tetap tinggi tetapi pengeluaran sangat kurang. Keadaan ini menyebabkan Musang King Pahang khususnya di Raub mahal ketika ini iaitu dijual sekitar RM75 sekilogram untuk gred A, RM50 bagi gred B dan RM30 bagi gred C,” katanya.
Nicky memberitahu, koya adalah sejenis serangga perosak yang sering menyerang tanaman di negara ini termasuk durian.
Terdapat banyak jenis koya seperti Dysmicoccus neobrevipes, Dysmicoccus brevipes, Rastrococcus inceroides, Pseudococcus lilanus dan Ferrisiana virgata.
“Semua serangga spesies koya ini menyerang tanaman pada bahagian daun, bunga dan buah tanaman jika ia tidak dikawal dengan sempurna,” katanya.
AKTIF
Beliau berkata, serangan koya bermula awal Januari lalu dan sehingga kini masih aktif menyebabkan pekebun terus mengeluarkan modal untuk menghentikan serangan serangga.
“Serangga ini akan serang daun pokok durian sehingga ia menjadi kekuningan, kering sehingga boleh menyebabkan pokok mati jika tidak dikawal dengan sempurna.
“Di Raub ini, boleh dikatakan hampir 50 peratus pekebun di sini kebun mereka diserang serangga ini sekali gus menjejaskan hasil musim ini,” katanya.
Mengenai cuaca, Nicky berkata, hujan yang kerap dan tidak mengikut masa seperti tahun-tahun sebelum ini menyebabkan bunga durian banyak gugur dan yang tinggal pula diserang serangga koya.
“Sukar untuk kita gambarkan keadaan cuaca ketika ini, perkembangan bunga Musang King banyak terjejas disebabkan cuaca berselang seli panas dan hujan tidak menentu.
“Durian Musang King ini bunganya sensitif, untuk stabil ia mesti bersaiz penumbuk bagi mengelak risiko gugur,” jelasnya.
Berikutan masalah tersebut, kata beliau, bekalan eksport raja buah itu ke luar negara seperti China, Australia, beberapa negara Eropah dan Indonesia turut terjejas.
“Untuk eksport ini kita biasanya sudah ada perjanjian dengan negara terbabit. Macam saya musim ini 50 tan, tapi hanya sekitar 20 tan yang mampu dicapai sebab buah berkurangan.
“Tapi kita tetap eksport.. Selain hasil kebun sendiri, kita juga terpaksa beli Musang King dari Johor yang berlaku lebihan antara bulan Mei hingga Ogos lalu,” katanya.
Dianggarkan nilai eksport durian dari Raub pada 2019 berjumlah RM24.29 juta, 2020 (RM94.10 juta) dan meningkat kepada RM277 juta pada tahun lalu. – UTUSAN










