Mampukah Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Semporna yang disandang Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
Parlimen Semporna antara kerusi ‘panas’ yang akan menjadi perhatian negara kerana kawasan itu menjadi milik Mohd. Shafie sejak menang pada 1995 ketika bersama UMNO, sehingga beliau menubuhkan Warisan yang kini berkembang di Semenanjung.
Dengan corak peratusan undi bekas Ketua Menteri Sabah itu kekal atas paras 70 peratus hingga 90 peratus selama enam penggal, orang ramai sudah boleh menjangka bahawa kemenangan tetap memihak kepada pemimpin itu dalam pilihan raya kali ini.
Difahamkan, BN sudah menyenarai pendek tiga calon untuk bertanding di Parlimen Semporna. Mereka dikhabarkan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Semporna, Abdul Manan Indanan; Bendahari UMNO Semporna, Datuk Harman Muhammad dan Ketua Pemuda UMNO Semporna, Muhammad Suffian Hindi.
Senarai itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentukan calon yang layak menentang Mohd. Shafie, manakala keputusan mesyuarat dijangka diumumkan pada minggu ini.
Sekalipun ketiga-tiga calon tersebut sangat berpengaruh di Semporna selain bukan ‘setahun jagung’ dalam pilihan raya, namun, Abdul Manan pernah tumbang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan oleh Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong.
Harman juga menerima nasib serupa ketika bertanding di DUN Sulabayan pada PRU14 ketika berdepan Jaujan. Sekiranya Muhammad Suffian dipilih menjadi calon, ini bakal menjadi pengalaman pertamanya bertanding di Parlimen dan pengundi Semporna tidak boleh lagi ‘mencuba-cuba’ sesuatu yang baharu dalam keadaan politik tidak stabil di seluruh negara.
TERKUBUR
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Semporna juga dipercayai bakal ‘terkubur’ di daerah ini kerana Ketua Bahagiannya, Mohd. Daud Tampokong tidak lagi mewakili parti itu, sebaliknya bertanding di atas tiket Bebas.
PRN Sabah 2020 menyaksikan, Mohd. Daud gagal memenangi kerusi DUN Bugaya dengan 2,552 undi ditewaskan sepupunya, Datin Manis Muka Mohd. Darah (8,557 undi). Manis kemudian meninggal dunia pada 17 November 2020.
Persoalannya, apakah pemberat yang ada pada kesemua calon ini supaya undi rakyat memihak BN? Sekalipun BN meratib semangat dan kekuatannya malah yakin menang PRU15 nanti, namun untuk merampas Parlimen Semporna tidaklah semudah disangka selagi Mohd. Shafie masih aktif berpolitik.
Kemampuan Mohd. Shafie mengubah hegemoni UMNO di Sabah khususnya Semporna telah memecah persepsi bahawa BN-UMNO sebagai parti terbesar dalam negara sukar dikalahkan.
Buktinya, Parlimen Semporna kekal milik Mohd. Shafie meskipun di bawah parti berbeza, malah, Warisan sudah berkembang di serata negeri menembusi perbezaan kaum, agama, bangsa dan fahaman politik.
Namun di sudut lain, apakah strategi Mohd. Shafie supaya Warisan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya setelah kehilangan sahabat seperjuangannya, Manis Muka? Paling penting, Warisan tidak boleh tersilap langkah.
Ini kerana, selain Muhammad Suffian yang akan bertanding di DUN Bugaya, BN turut mencalonkan dua nama lain iaitu Naib Ketua Bahagian UMNO, Abd. Aziz Mohd. Ibno dan bekas Setiausaha Tetap Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Jasmin Julpih bertanding di Bugaya.- UTUSAN










