Ku Li dijangka kekal pertahan Gua Musang

Ku Li dijangka kekal pertahan Gua Musang

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Sepuluh penggal diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang meletakkan bekas Timbalan Menteri Kewa­ngan, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai individu yang masih lagi relevan untuk dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sosok tubuh berusia 85 tahun yang masih cergas, cerdas dan sering melontarkan pandangan baharu kepada negara meletakkan tokoh ber­kenaan mampu menjadikan Gua Musang sebagai ‘deposit’ tetap kawasan Parlimen untuk BN.

Sering turun padang menyantuni rakyat memberi isyarat jelas bahawa Ku Li masih mahu mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenanginya pada PRU14 lalu.

Walaupun senarai nama calon masih belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan ter­tinggi parti, namun batang tubuh yang dimiliki oleh tokoh ‘berdarah’ kerabat Di Raja Kelantan itu mampu memberikan kelebihan buat BN untuk kukuh bertapak di Gua Musang.

Jika menang PRU15, Ku Li bakal mencipta rekod iaitu menjadi Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini sejak memenangi kerusi Ulu Kelantan pada 1974.

Hubungan Ku Li dengan penduduk di kawasan Parlimen itu boleh diibaratkan seperti ‘isi dengan kuku’ meskipun pernah bertanding atas tiket Semangat 46 pada tahun 1990 lalu.

Sungguhpun begitu, Ku Li masih mampu meraih kemenangan walaupun tidak mewakili BN pada PRU tersebut sekali gus membuktikan ‘aura’ yang dimiliki tokoh berkenaan sukar untuk dipadamkan oleh mana-mana ahli politik di Gua Musang.

Selain penduduk tempatan, nama Ku Li turut ‘melekat’ dalam kalangan masyarakat Orang Asli apabila sering turun padang bertemu dengan golongan berkenaan walaupun berada jauh di kawasan hutan belantara.

Situasi itu menjadikan Ku Li berada pada kelasnya yang tersendiri dalam menarik kepercayaan rakyat Parlimen Gua Musang untuk terus memberi mandat kepada beliau pada PRU15.

Pada PRU14 lalu, Ku Li menang dengan majoriti 3,913 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×