Konsert: Penonton hanya sempat terkinja-kinja beberapa saat  -

Konsert: Penonton hanya sempat terkinja-kinja beberapa saat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rakaman aksi penonton terkinja-kinja dan terlompat-lompat pada konsert di Balai Seni Negeri, di sini pada malam Sabtu lalu adalah sebelum pihak penganjur bertindak mengawal keadaan termasuk menghentikan persembahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, rakaman yang ditularkan dalam media sosial itu merupakan aksi beberapa saat sahaja sebelum tindakan penonton terdiri anak-anak muda berkenaan dileraikan pengawal di lokasi.

 “Saya dimaklumkan pihak muzium negeri sudah ambil tindakan awal semasa kejadian. Masa muzik dimainkan dan busker mula menyanyi, pihak muzium yang merupakan penganjur bersama program tersebut nampak keadaan itu, mereka sudah minta hentikan muzik.

 “Selepas itu, persembahan tersebut sudah disekat. Cuma yang ditularkan aksi terkinja-kinja penonton sebelum itu. Mungkin beberapa saat sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini tular dalam media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni Negeri di sini. Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu kenyataan melarang sebarang jenis konsert hiburan yang mencetus kelakuan di luar tata susila di seluruh Kedah.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Firdaus, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan bakal melaksanakan peraturan yang ketat bagi setiap permohonan untuk mengadakan aktiviti hiburan di negeri ini.

Sementara itu, susulan larangan ke atas konsert hiburan yang menggalakkan aksi melangkaui tata susila, kerajaan Kedah meminta penganjur acara di negeri ini memperbanyakkan program berbentuk keagamaan dan kerohanian.

Beliau berkata, konsert berbentuk kerohanian termasuk nasyid akan diterus dan diperbanyakkan pada masa hadapan.

“Cuma, konsert libatkan aksi menari dan keterlaluan itu dilarang yang mencetuskan insiden terkinja-kinja dan terlompat seperti ditularkan hari itu tidak diberi kebenaran.

“Menteri Besar sangat kecewa dengan insiden itu. Semua pun pakat dok hentam kerajaan negeri. Jadi, larangan konsert hiburan itu adalah usaha kita elak perkara seperti ini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menegaskan, kerajaan negeri juga mengambil langkah mengetatkan semua permohonan untuk mengadakan sebarang acara atau program di negeri ini.

“Sebarang bentuk program atau persembahan akan dipertimbangkan di peringkat exco. Lesen atau permit penganjur akan dapat daripada pihak pejabat daerah. Tetapi sebelum dapatkan lesen pihak penganjur perlu dapatkan surat pelepasan dan surat sokongan daripada Exco yang bertanggungjawab.

“Supaya penganjur itu dapat terangkan terperinci program itu dan pengisiannya. Penganjur perlu memaklumkan tentang tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) serta sebagainya. Apabila kita berpuas hati kemudian baru keluar surat sokongan atau surat kebenaran. Itu supaya perkara seperti ini di bawah pengetahuan pihak kerajaan negeri. Tak adalah depa nak buat sesuka hati, kata nak buat busking jadi cerita lain,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya