KANGAR : Cadangan mengenengahkan Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini hanya pandangan peribadi Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah, bukan mewakili parti.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, berdasarkan maklumat yang diketahui beliau, tokoh-tokoh politik yang dinyatakan itu hanya berperanan bagi membantu menggerak parti daripada sudut idea dan pengalaman untuk membawa Bersatu lebih ke hadapan.
Wan Zikri berkata, bagaimanapun, pihaknya berlapang dada dengan pandangan tersebut dan berkeyakinan Perikatan Nasional (PN) bakal memberi lebih ruang serta peluang buat anak muda untuk tampil sebagai pemimpin dalam masyarakat setempat.
“Kita bertanding atas tiket PN, jadi pimpinan tertinggi di peringkat negeri akan memberi nasihat dan pandangan berkaitan pemilihan calon ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin PN Kawasan Arau 2022 di sini hari ini.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri merangkap Pengerusi PN Negeri, Mohd. Shukri Ramli.
Wan Zikri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abu Bakar baru-baru ini yang tidak menolak kemungkinan mengetengahkan beberapa tokoh politik terkenal sebagai calon parti itu dalam PRU15 di Perlis.
Antara calon yang bakal diketengahkan itu adalah bekas Ahli Parlimen Kangar, Radzi; bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Azmi dan bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.
Radzi, 80, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menguasai Parlimen Kangar pada PRU 1982, 1986, 2004 dan 2008.
Azmi, 82, yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula menguasai Parlimen Padang Besar selama empat penggal berturut-turut dari 1995 sehingga 2008.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, PN Perlis masih belum memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding atas tiket gabungan itu dalam PRU15.
“Berkenaan calon ini akan ditentukan di peringkat pusat dan kita di negeri hanya boleh cadangkan nama sebelum ia dimuktamadkan. Senarai nama calon belum dimuktamadkan dan kita masih sedang duduk berbincang mengenai perkara itu,” katanya. –UTUSAN










