Kesilapan PRU14 tak patut diulang - Sulaiman - Utusan Malaysia

Kesilapan PRU14 tak patut diulang – Sulaiman

SULAIMAN Md. Ali menyerahkan sebuah basikal kepada seorang pekerja pembersihan pada Majlis Ramah Mesra Pekerja Sektor Pembersihan di Dewan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kesilapan dilakukan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan memberi peluang kepada pembangkang mentadbir negara sewajarnya tidak diulang pada PRU-15.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perasaan ingin mencuba pentadbiran selain Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa berlakunya ketidakstabilan politik negara sehingga menyebabkan pentadbiran kerajaan Persekutuan bertukar sebanyak tiga kali. 

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu, pengundi kini perlu membuat keputusan tepat dengan memilih parti yang lebih stabil dan mampu memenuhi keperluan seluruh lapisan masyarakat. 

Jelasnya, undi yang berpecah juga hanya merugikan rakyat kerana menyumbang kepada kegagalan membentuk sebuah kerajaan kukuh. 

“Janganlah kita nak cuba-cuba esok, nak pilih, pilih betul-betul, kalau pilih sikit sini, sikit sana, akhirnya tiada satu pun parti yang boleh membentuk kerajaan, siapa yang susah?, rakyat juga.

“Saya ingatkan kepada rakyat Melaka, pilihlah kerajaan yang benar-benar boleh membantu dan memenuhi semua keperluan, kita tidak mahu lagi kucar-kacir yang berlaku pada PRU-14 berulang lagi.

“Di tangan tuan-tuan yang akan memastikan kerajaan apa kita mahukan, jangan lagi lakukan kesilapan seperti PRU-14, dalam tempoh penggal sama Perdana Menteri kita bertukar sebanyak tiga kali,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pekerja Sektor Pembersihan di Dewan Hang Tuah di sini semalam.

Ditanya mengenai isu banjir di Alor Gajah yang didakwa pembangkang gagal diselesaikan, beliau meminta penduduk memberikan masa kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. 

“Terserahlah itu hak masing-masing, kalau tak nak keluar mengundi saya tak boleh paksa dan bukannya dengan tindakan itu, isu banjir ini akan selesai.  

“Kita usaha macam-macam, tetapi, kawasan itu kawasan lembah, ia perlukan masa. Saya minta sabar sedikit, kita tidak akan abaikan apatah lagi banjir ini saya pun pernah mengalaminya, jadi kita tunggu kelulusan sahaja, tebatan itu nak dinaikkan lagi,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN