Kerajaan stabil penting tangani ribut ekonomi

Kerajaan stabil penting tangani ribut ekonomi

Kestabilan ekonomi adalah kunci menarik kemasukan pelaburan dan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 21.2 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu memilih kerajaan stabil dan kuat bagi mendepani ribut ekonomi yang diramal berlaku tahun depan.

Kesan inflasi dan kelembapan pertumbuhan ekonomi menyebabkan segala tindakan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 sangat mustahak bagi mendepani keadaan di luar jangka termasuk kebimbangan terhadap kadar pengangguran akan kembali meningkat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kadar pertumbuhan negara di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dijangka merosot, kurang daripada dua peratus pada tahun depan, sekali gus berisiko me­ngundang kegawatan ekonomi.

Katanya, kemerosotan dise­babkan inflasi yang terlampau tinggi menyebabkan banyak isi rumah di negara yang terkesan hilang keupayaan untuk ber­belanja apabila harga barang meningkat.

“Kita mengeksport 80 peratus daripada keluaran yang kita lakukan di Malaysia, jadi sekiranya permintaan merosot dise­babkan permintaan menyusut di negara maju, maka kemungkinan besar kita terpaksa me­ngurangkan pengeluaran.

“Ini boleh menyebabkan syarikat Malaysia menguncup menyebabkan bilangan pekerja dikurangkan, tetapi akan bergantung kepada tempoh kegawatan ini akan berlaku.

“Ramalan kegawatan ekonomi boleh berlaku melebihi dua tahun dan disebabkan tempoh yang panjang itu mungkin kita terpaksa mengurangkan, memberhentikan pekerja atau mengecilkan kadar jam be­kerja dalam seminggu yang menyebabkan kehilangan pendapatan kepada pekerja.

“Namun, sekiranya kegawatan dianggarkan dalam tempoh enam bulan atau kurang setahun, syarikat mungkin boleh elakkan pembuangan pekerja dengan cuba mengeluarkan produk lain atau menggunakan pekerja untuk aktiviti lain sementara pasaran pulih untuk syarikat bertahan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, soalnya rakyat tidak tahu apa bentuk kerajaan yang ditubuhkan se­ki­ranya mahu memilih kerajaan yang kuat dan stabil.

“Malah, jika ditakdirkan mana-mana gabungan politik mendapat majoriti yang tinggi, kerajaan yang kuat tetap bergantung kepada apakah tindakan yang diambil selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan kuat dan stabil dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Dengan kerajaan baru nanti, kita juga boleh membuat satu rangka kerja baharu untuk memulihkan ekonomi, jadi jika (kerajaan baharu) rasakan mungkin ada yang tidak kena pada Bajet 2023, mereka boleh pinda,” katanya.

Beliau mengharapkan, negara mengambil inisiatif me­rancakkan ekonomi domestik sekiranya mendapat jangkaan awal kemelesetan eko­nomi.

Katanya, salah satunya adalah dengan menaikkan lagi hab industri yang berpotensi terutamanya industri pertanian dan penternakan.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali pula berkata, isu permainan politik yang membuatkan kerajaan tidak stabil mendorong pelabur ‘keluar’ dari negara ini, dan memberi kesan kepada ekonomi.

Menurutnya, kestabilan ekonomi adalah kunci untuk pelabur ‘memandang’, namun, apabila banyak kali pertukaran pucuk pimpinan negara, pelabur sudah mula berkira-kira kerana perubahan polisi.

“Macam kita, Malaysia, ramai pelancong asing masuk dan dari situ kita boleh dapat banyak pertukaran wang, dan ekonomi dapat berkembang. Jadi di situ rakyat memainkan peranan yang penting dengan memilih kerajaan stabil dan tepat untuk menjamin dasar kelangsungan ekonomi negara,” katanya.

Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman berkata, kerajaan baharu perlu meneruskan pemerkasaan ekonomi, pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan fokus pemasaran barangan tempatan.

“Apa yang Bank Negara Malaysia (BNM) boleh buat untuk mengawal keadaan sekarang adalah berterusan memantau aliran mata wang dan situasi semasa tetapi pada masa yang sama memfokuskan juga kepada kadar inflasi terutama dari segi penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Saya lihat sikap tidak memanipulasi kadar ringgit itu harus diambil oleh BNM dan kita tidak mahu berlaku intervensi seperti sebelum ini yang menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan pada negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN