Ismail Sabri calon PM - Ahmad Zahid

Ismail Sabri calon PM – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Perak, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: UMNO kekal menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak boleh dipertikaikan lagi, malah tidak timbul isu seperti dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa UMNO telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, itu tidak boleh dipertikai lagi.

“Namun, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan beberapa UMNO Bahagian seluruh negara yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi BN.

Setakat semalam,. sebanyak 14 Bahagian UMNO menyokong usul pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Bahagian-bahagian itu ialah Arau, Ketereh, Pontian, Kuala Terengganu, Jelebu, Kota Bharu, Alor Gajah, Tampin, Bagan Datuk, Jasin, Sepang, Padang Terap dan Bera.

Menurut Ahmad Zahid, jika ada parti pembangkang yang menamakan individu lain selain Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri BN, maka ia adalah usaha untuk mereka memecahbelahkan BN dan UMNO.

“Jadi, saya tidak menghormati pendirian itu, kita hormati kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan yang ada pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengenai hasrat anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr. Ismail mahu bertanding menentangnya di Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid mengalu-alukan keputusan itu di bawah prinsip demokrasi.

Beliau yang sudah lima penggal menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pengundi di kawasan itu lebih mengetahui calon terbaik untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat.

“Tentunya pengundi di sini lebih mengetahui hendak memilih intan atau kaca, bukannya (bertanding) semata-mata kerana kebencian, mahu merendahkan imej seseorang atau tidak bersetuju mana-mana orang yang dia rasakan tidak setanding dengan kebolehannya sebagai bekas ahli Parlimen dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tujuh puluh peratus daripada calon BN pada PRU-15 terdiri daripada muka-muka baharu.

Beliau berfkata, UMNO akan memastikan muka baharu itu adalah berkaliber, memiliki kelayakan akademik dan akhlak yang baik serta mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat.

Presiden UMNO itu mengakui keputusan itu bukan mudah tetapi perlu dilakukan supaya rakyat dapat melihat BN sudah berubah untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Tetapi, sebagai Pengerusi BN dan Presiden parti, saya perlu berlaku adil, perlu kekalkan juga muka lama agar ada keseimbangan dan keadilan,” ujarnya.

Menurut Ketua UMNO Bagan Datuk itu, pihaknya juga akan cuba memenuhi permintaan agar 30 peratus daripada calon BN adalah golongan wanita.

Beliau juga mengumumkan BN akan bertanding di 191 daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini dan buat pertama kalinya akan memberi peluang kepada parti ‘Friends of BN’ bertanding atas tiket BN.

Menjelaskan kepada pemberita kemudiannya, beliau memberitahu bukan semua lapan parti ‘Friends of BN’ akan diberi peluang bertanding sebaliknya keutamaan akan diberikan kepada parti yang mempunyai keahlian besar.

Beliau bagaimanapun menegaskan parti teras dalam BN iaitu MCA, MIC dan PBRS akan diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada parti ‘Friends of BN’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN