'Ingatkan bom, rupanya limpahan air tangki seperti Niagara Falls' -

‘Ingatkan bom, rupanya limpahan air tangki seperti Niagara Falls’

NORIZAT Abdul malik bersama anaknya melihat kerosakan kereta mereka selepas ditimpa limpahan air tangki yang pecah dari tingkat 12 Blok B Apartmen Penaga Mas, Taman Mas, Sepang, Selangor.UTUSAN/PETAH WAZZAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Kami sangka bom jatuh dari langit, rupa-rupanya tangki air blok B pecah,” kata salah seorang penduduk Blok B Apartmen Penaga Mas, Taman Mas, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.15 petang, enam buah kereta dilaporkan rosak teruk manakala kira-kira lima lagi turut mengalami kerosakan selepas ditimpa limpahan air dan serpihan tangki air yang pecah dari tingkat 12 blok berkenaan, malam tadi.

Pemilik kereta Honda Stream, Norizat Abdul malik, 43, yang bekerja sebagai mekanik berkata, ini adalah perkara paling teruk yang pernah berlaku sejak menetap di situ iaitu 12 tahun lalu dan dia mengalami kerugian lebih RM3,000 untuk membaiki kenderaan.

Katanya, 10 minit sebelum kejadian, ada seorang penduduk memaklumkan terdapat aliran air dari atas dalam aplikasi WhatsApp persatuan penduduk.

“Namun, secara tiba-tiba bunyi letupan kuat dan terdapat limpahan air yang sangat banyak hingga melimpah atas beberapa kereta penduduk termasuk kereta saya.

“Kereta saya mengalami kerosakan bumbung remuk, cermin hadapan pecah dan air melimpah masuk ke dalam kereta. Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen ada meminta kami baiki dahulu sebelum membuat tuntutan dengan mereka,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik Proton Saga, Azrina Aladin, 47, berkata, dia mahu solat Maghrib sebelum terdengar bunyi letupan dan benda terjatuh yang sangat kuat.

Katanya, dia terus bergegas ke tingkap ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku sebelum melihat kejadian seperti air terjun ‘Niagara Falls, Kanada.’

“Apa yang menyedihkan, kereta saya juga turut terkena limpahan air tangki hingga menyebabkan bumbung kemek, pelindung plastik di antara enjin patah termasuk kereta dimasuki air.

“Saya baru beli kereta ini dua tahun lalu dan ia masih ada jaminan. Petang ini, saya akan bawa ke Pusat Penyelenggaran Proton di Puchong untuk membaikinya sebelum membuat tuntutan dengan JMB,” katanya.

Seorang penduduk, Ahmad Khairil Izuwan Hashim, 32, perunding automotif berkata, dia yang baru balik dari kerja terkejut melihat kawasan parkir motosikal dipenuhi limpahan air manakala terdapat banyak kereta rosak melibatkan lebih 10 kereta.

“Sebuah kereta Perodua Myvi antara kenderaan yang sangat teruk kerosakan dengan terdapat serpihan papan gentian kaca tangki air yang pecah tercacak atas kereta itu.

“Saya tidak boleh bayang sekiranya serpihan itu jatuh atas penduduk, pastinya akan ada yang kehilangan nyawa,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa penduduk sedang sibuk mengambil air melalui tiga tangki air bersih yang disediakan Syarikat Air Selangor.

Rata-rata mereka kelihatan letih kerana terpaksa mengangkut air dengan hanya terdapat satu lif sahaja berfungsi kerana sebuah lagi mengalami kerosakan.

Sementara itu, seorang kakitangan JMB yang enggan dikenali berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada penduduk yang menjadi mangsa untuk membaiki kenderaan masing-masing terlebih dahulu.

“Selepas kenderaan mereka dibaiki, mereka boleh membuat tuntutan dari pihak JMB dan kita akan prosesnya seberapa segera,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan tangki air berketinggian 18.3 meter di sebuah blok pangsapuri di Taman Mas, Sepang pecah sehingga mengakibatkan enam kenderaan rosak teruk.

Dalam kejadian 7.15 petang itu serpihan tangki air yang jatuh telah menimpa kenderaan di bawah blok pangsapuri terbabit.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dan hanya kerosakan harta benda sahaja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya