Harga ayam RM11 sekilogram

Harga ayam RM11 sekilogram

MOHD. Azman Ahmad menunjukkan ayam yang ditempah pelanggannya di Pasar Besar Chukai, Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor, Terengganu dan Kelantan mengalami kekurangan bekalan ayam sehingga memaksa peniaga menaikkan harga antara RM9.40 hingga RM11 sekilogram.

Peniaga memberi alasan tindakan pembekal menaikkan harga menyebabkan mereka tidak mem­punyai pilihan meletakkan harga melepasi siling RM9.40.

Di Kemaman, Terengganu, seorang peniaga di Pasar Besar Chukai, Zulkifli Kadir, 55, berkata, dia terpaksa menaikkan harga sebab harga pembekal meningkat.

“Sebelum ini, harga RM8.50 sekilogram, saya jual dengan harga RM9.50, namun sekarang dapat ayam pada harga RM9.20 hingga RM9.50 sekilogram, saya terpaksa jual RM10.50 hingga RM11 sekilogram sebab harga daripada pembekal meningkat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagi Mohd. Azman Ahmad, 50, kekurangan bekalan memaksanya mengambil tempahan awal.

“Walaupun pelanggan buat tempahan awal, namun saya tak dapat janji sebab saya sendiri hanya dapat bekalan ayam pada lewat malam dengan jumlah terhad,” katanya.

Mohd. Azman berkata, dia juga buntu mencari bekalan ayam bagi memenuhi pelanggan tetapnya iaitu kedai makan serta kantin sekolah dan asrama setiap hari.

Pembekal makanan asrama sekolah yang mahu dikenali sebagai Hisham, 43, berkata, dia terpaksa menukar menu pelajar asrama berikutan ketiadaan ayam.

“Di asrama memang kami perlukan jumlah ayam yang banyak. Kadangkala terpaksa tukar menu lain seperti ikan sebab kekurangan bekalan ayam,” ujarnya.

Di Kota Bharu, Kelantan, peniaga ayam segar mendakwa terpaksa mengehadkan jualan selepas pembekal bertindak mengurangkan bekalan bahan mentah itu sejak dua minggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong mendapati bekalan ayam berkurangan bagaimanapun masih dijual pada harga siling RM9.40 sekilogram.

Peniaga, Marzuki Hashim, 39, berkata, sejak seminggu lalu dia hanya memperoleh sekitar 300 ekor hingga 400 ekor ayam sehari berbanding 600 ekor sebelum ini.

“Kalau mahu 400 ekor sehari, saya perlu mendapatkan dari dua atau tiga pemborong bagi mencukupkan bekalan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Di Lembah Klang, seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, kebanyakan mereka terpaksa menjual ayam RM11 sekilogram kerana harga di peringkat ladang meningkat.

“Ya memang RM11 sekilogram harganya, bekalan juga boleh dikatakan sekarang tak dapat banyak seperti dahulu” katanya.

Sementara itu, seorang peladang ketika dihubungi memaklumkan sudah ada gerak kerja mengatur langkah untuk menaikkan harga bekalan makanan itu pada Disember ini.

“Kami sebagai pemain industri sudah nampak, sebab kami rata-ratanya penternak kontrak dan tak dapat bekalan anak ayam.

“Ini menandakan bekalan ayam ada masalah di lapangan dan dua tiga bulan sebelum ni kami bukan sahaja dapat anak ayam sikit tetapi tidak berkualiti, bila tak berkualiti senang mati sebab sakit,” jelas­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN