Di mana nama besar ini bertanding?

Di mana nama besar ini bertanding?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap kali pilihan raya diadakan, di kerusi mana nama-nama besar akan bertan­ding sering menjadi bualan dan bahan spekulasi. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak terkecuali, apatah lagi dalam kegawatan politik hari ini.

Khairy Jamaluddin

Antara yang menjadi perhatian sejak awal lagi ialah kedudukan Khairy Jamaluddin. Selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mahukan kerusi Rembau, Khairy terpaksa mencari kawasan baharu.

Parlimen Port Dickson, Kuala Pilah dan Tampin disebut-sebut, namun ketiga-tiga Bahagian UMNO kawasan berkenaan setakat ini menolak calon luar.

Hanya UMNO Seremban sedia ‘menerima’ Khairy tetapi kerusi di kubu kuat DAP itu dianggap terlalu berisiko buat bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Begitupun, sebagai individu yang dianggap sebagai aset UMNO, beliau diyakini akan diberikan tempat oleh pucuk pimpinan, cuma tidak diketahui di mana setakat ini.

 

Tengku Zafrul

Pengangguran

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula pada awalnya dikaitkan sebagai ‘orang Bersatu’, rupa-rupanya ahli UMNO dan cenderung mahu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor.

Beliau yang akan diangkat sebagai poster boy BN Selangor dijangka menghadapi tentangan sengit daripada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzukefly Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU14 dengan majoriti 8,498 undi.

Jika ‘bacaan menang’ sukar, Tengku Zafrul mempunyai pilihan lain, kemungkinan ke kerusi Parlimen Sungai Besar yang UMNO bahagiannya diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos.

Difahamkan, Tengku Zafrul akan turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta disebut-sebut bakal Menteri Besar Selangor daripada BN, tetapi setakat ini Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari enggan membubarkan DUN negeri itu.

Muhyiddin Yassin

Di Johor, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti akan mempertahankan kerusi Pagoh tetapi beliau dijangka menghadapi tugas sukar memandangkan satu daripada dua kerusi DUN dalam kawasan itu berpihak kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu.

DUN Bukit Pasir dimenangi BN manakala Bukit Kepong kekal di tangan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Jika Muhyiddin kalah di Pagoh yang diwakili sejak 1978, Bersatu yang diwujudkan beberapa tahun sebelum PRU14 akan lenyap. BN dijangka mempertaruhkan bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO.

Faizal Azumu

Begitu juga dengan kedudukan orang nombor dua Bersatu iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Parlimen Tambun apabila nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari bakal dipertaruhkan sekali gus mengugat kedudukan Menteri Belia dan Sukan itu.

Ahmad Faizal boleh menarik nafas lega jika Anwar turut mengintai kerusi lain iaitu Gombak namun kedudukannya bakal terjawab pada Konvensyen Nasional gabungan itu yang dijadualkan berlangsung di Perak, 29 Oktober ini.

Radzi Jidin

RADZI JIDIN

Nama pemimpin lain Bersatu pula seperti Datuk Dr. Radzi Jidin selaku Naib Presiden dikaitkan bertanding di Putrajaya, tetapi ia percubaan ‘berani mati’ kerana bakal berentap dengan Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikenali penduduk setempat sehingga mendapat julukan ‘Ketua Kampung’ apatah lagi Menteri Kanan Pendidikan itu pernah tewas di Ketereh ketika PRU14.

Radzi ketika PRU14 berada di kedudukan ketiga dengan 6,799 undi berbanding calon BN, Tan Sri Annuar Musa (25,467) dan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh (20,841 undi).
Hamzah Zainuddin

Bagaimana pula dengan nasib Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Larut, Perak? Sebenarnya beliau menang pada PRU14 atas tiket BN sebelum melompat ke Bersatu, sekaligus membayangkan kekuatan di kawasan itu sebelum ini atas nama UMNO dan bukannya Bersatu.

Rina Mohd Harun

RINA HARUN

Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun dijangka berpindah kawasan ke Dengkil apabila pe­ngaruhnya di Titiwangsa semakin jatuh ekoran aura Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dikatakan menyaingi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, Rina kemungkinan digantikan dengan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Takiyuddin Hassan

Sementara Pas yang ‘mufaraqah’ (berpisah) dengan UMNO kelmarin sehingga kini spekulasi berlegar membabitkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan apabila beliau dipercayai berpindah kawasan dari Kota Bahru ke Setiawangsa, manakala kerusi Abdul Hadi dan Timbalan­nya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masih menjadi tanda tanya.

Rafizi Ramli

Selain Anwar, percaturan PKR tidak kurang tularnya apabila Timbalan Presiden, Rafizi Ramli bakal dipertaruhkan di Pandan setelah beliau berehat seketika selepas PRU14 dan kemunculannya itu sekali gus menggantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Begitu juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dijangka mempertahankan Permatang Pauh.

DAP pula dijangka banyak kekosongan kerusi setelah Lim Kit Siang disahkan tidak mempertahankan Iskandar Puteri dan begitu juga Dr. Ong Kian Ming di Bangi serta Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sekali gus membayangkan parti itu bakal mele­takkan lebih ramai muka baharu.

Rakan sekutu PKR dan DAP iaitu Amanah pula tidak banyak cakap-cakap membabitkan percaturan mereka sama ada melibatkan Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu di Kota Raja mahupun, Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayob di Pulai, Johor.

Mukhriz Mahathir

kartel

Dalam pada itu, Gerakan Ta­nah Air (GTA) sebagai gabungan politik terbaharu pula setakat ini hanya Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz masing-masing disahkan bertanding di Langkawi dan Jerlun. Namun nama-nama lain dari GTA masih belum di­umumkan setakat ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×