Calon wanita: Kaliber atau sekadar lipstik?

Calon wanita: Kaliber atau sekadar lipstik?

(DARI ATAS, KIRI) Noraini Ahmad, Nurul Izzah Anwar, Rina Harun, Hannah Yeoh, Nancy Shukri, Siti Zailah Mohd Yusoff, Young Syefura Othman dan Wan Azizah Ismail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPILAN ahli politik wa­nita dalam setiap pilihan raya sering mencuri tumpuan ramai. De­ngan tuntutan penyertaan yang lebih besar daripada kaum hawa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), timbul persoalan sama ada mereka benar-benar berkaliber untuk diketengahkan atau sekadar menjadi ‘perhiasan’.
Memang tidak dinafikan sudah ramai tokoh wanita yang mam­pu mencorak pembangunan negara tetapi ada juga yang seolah-olah kurang berfungsi.

NORAINI AHMAD

Penyandang kerusi Parit Sulong tiga penggal berturut-turut ini dilihat seorang yang setia kepada parti. Ketua Wanita UMNO itu antara yang berani melepaskan jawatan Menteri Pengajian Tinggi dalam Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penglibatan beliau kira-kira 35 tahun dalam arena politik ber­mula sebagai ahli dan kemudian menerajui Ketua Puteri UMNO itu, namun sejak kebelakangan ini kurang menyengat dan memilih untuk berdiam diri daripada menjawab isu-isu politik atau kementeriannya.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Perjuangan politik Wan Azizah sejak awal adalah demi membela suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pernah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang pauh pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Pada PRU14 beliau ke Pandan mengambil kerusi Rafizi Ramli kerana ketika itu sedang dalam proses rayuan membabitkan hu­kuman 30 bulan penjara selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan milik National Feedlot Corporation (NFC).
Walaupun Wan Azizah menang besar 52,543 undi majoriti, beliau berkemungkinan mencari kerusi lain kerana Rafizi yang kini menjawat Timbalan Presiden PKR itu sudah menyuarakan hasrat untuk kembali bertanding di Pandan.

NURUL IZZAH ANWAR

Naib Presiden PKR ini sudah mengumumkan hasrat kekal ber­tanding di Parlimen Permatang Pauh pada PRU15. Anak kepada pasangan tokoh besar politik Anwar dan Wan Azizah itu men­jadi tumpuan kerana kelantangannya dalam mengangkat isu-isu wanita dan keluarga di sebalik kecantikan rupa paras.
Sekalipun parti memperta­ruh beliau untuk bertanding di kerusi lain, keupayaannya un­tuk menang adalah cerah. Ini kerana beliau pernah menentang tokoh berwibawa BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai pada PRU 2008 dan juga menang mempertahan ke­rusi itu melawan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (BN).

RINA HARUN

Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini seolah sudah mengesahkan bertan­ding di Sepang. Dilihat mencari kerusi selamat selepas tidak lagi menonjol di kerusi Parlimen Titi­wangsa itu, kini menggunakan latar belakangnya sebagai anak jati Sepang untuk mengintai kerusi berkenaan.
Keupayaan Menteri Pemba­ngunan Wanita Keluarga dan Ma­syarakat itu untuk menambat hati penduduk masih samar kerana beliau lebih menonjol perubahan keterampilan diri­nya berbanding gerak kerja yang dilakukan.

ZURAIDA KAMARUDDIN

Tiga kali menukar parti, ha­yat politik Datuk Zuraida Ka­ma­ruddin dilihat 50-50. Ahli Par­­limen Ampang itu meninggalkan Bersatu pada Mei lalu, menyertai parti baha­ru, PBM dan kini dilantik sebagai Presiden.
Jika bekas Naib Presi­den PKR itu tetap memper­tahan kerusi Parlimen Am­­­pang atas tiket parti ba­harunya, ia belum tentu men­dapat undi majoriti kerana dilihat seorang wakil rakyat yang mengkhianati mandat rakyat.

YOUNG SYEFURA OTHMAN

Berketerampilan menarik, mu­da dan berpendidikan, Young Syefura Othman atau le­bih popu­lar dipanggil Rara boleh dikatakan ‘aset’ DAP khususnya dalam menarik sokongan pengundi muda dan Melayu pada PRU15.
ADUN Ketari itu dilihat sema­kin menonjol dalam parti dominan Cina itu apabila di­pilih da­lam Jawatankuasa Eksekutif Ke­­­bangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) sebagai Timbalan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Kelantangan pemimpin muda ini berjuang agar lebih ramai wa­kil wanita dilibatkan dalam pro­ses penggubalan undang-un­dang dan polisi, memungkinkan wani­ta berusia 32 tahun ini mungkin dipilih bertanding di peringkat Parlimen pada PRU15 selepas menang bergaya dengan memperoleh majoriti 9,873 undi pada PRU14 lalu di peringkat DUN.

MAS ERMIEYATI

Pernah dicalonkan bakal Ke­tua Menteri Melaka pada pilihan raya negeri itu memberi ke­lebihan kredibiliti ketokohan wanitanya yang diangkat pa­da kedudukan penting oleh Pe­rikatan Nasional (PN) walaupun kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Ahli Parlimen Masjid Tanah ini namun masih dingati sebagai salah seorang yang lompat kepada Bersatu selepas PRU14 walaupun menang atas tiket BN. Mas Ermieyati adalah Ketua Puteri UMNO ketika itu sebelum melompat ke Bersatu selepas PRU14.

NANCY SYUKRI

Ahli Parlimen Batang Sadong tiga penggal berturut-turut ini tidak banyak mencetuskan kontroversi. Antara tokoh wanita di Sarawak mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sering mendapat keperca­yaan untuk me­nerajui kementerian setiap kali pembentukan Kabinet.
Mempunyai latar belakang un­dang-undang, kredibilitinya turut disegani terutama dalam memperjuang peruntukan besar bagi pembangunan Sarawak.

SITI ZAILAH MOHD YUSOFF

Tidak ramai tokoh wanita da­lam Pas yang dilihat menonjol. Timbalan Menteri Pemba­ngu­nan Wanita, Keluarga Ma­syarakat itu satu-satunya wanita Pas dilantik dalam Kabinet.
Ketua Muslimat Pas Kelantan itu bakal mempertahan Parlimen Rantau Panjang selepas tiga penggal mewakili kawasan itu. Beliau sentiasa lantang bersuara dalam parlimen terutama melibatkan isu-isu Islam.

TEO NIE CHING

Sering lantang dalam Parlimen, Ahli Parlimen Kulai ini di­lihat seorang pemimpin wanita berkredibiliti. Walaupun ha­nya sempat 22 bulan memegang ja­watan Timbalan Menteri Pendidikan, beliau masih memperjuang­kan isu-isu pendidikan terutama nasib golongan pendidik dan gra­duan pendidikan untuk diberikan tempat sewajarnya oleh kerajaan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu dipercayai mempertahankan kerusi Parlimen Ku­­lai pada PRU15.

HANNAH YEOH

Ahli Parlimen Segambut ini seorang berbakat dalam ke­pim­pinan. Beliau pernah dilantik wanita pertama dan termuda men­jadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Turut mementingkan isu wa­nita dan kekeluargaan, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Ma­syarakat itu dilantik menjadi Jurucakap Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam barisan kepimpinan baharu DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×