GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk mengikut keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebarang keputusan terkini mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang akan kekal selari dengan keputusan PH Pusat.
”Seperti Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan, saya telah sampaikan pandangan kepada pucuk pimpinan PH, sama seperti yang diumumkan.
”Oleh itu, kita akan mengikut keputusan terkini seperti yang diumumkan PH,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tiga negeri di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memberi laluan kepada pemimpin di negeri itu untuk fokus kepada kebajikan rakyat yang kini menghadapi banjir.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada negeri pimpinan PH takut untuk membubarkan DUN kerana rekod kekalahan sebelum ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti di Melaka dan Johor, Kon Yeow berkata, keputusan berkaitan perkara itu hanya akan diketahui jika PRU15 diadakan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Bajet 2023, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berharap Kerajaan Pusat akan meluluskan lebih banyak peruntukan bagi projek-projek infrastruktur untuk penduduk Pulau Pinang.
“Kita tertunggu-tunggu juga untuk melihat apa yang akan diperoleh Pulau Pinang dalam pembentangan Bajet 2023 esok.
“Kerajaan negeri mengemukakan sejumlah 126 projek daripada 20 agensi negeri berbeza bernilai RM17.72 bilion untuk pertimbangan Kerajaan Pusat dalam Bajet 2023 dan daripada jumlah itu hanya RM2.9 bilion projek yang diperlukan sekarang,”katanya.
Tambahnya, semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, beliau telah meminta kerajaan negeri mengemukakan kepada kementerian projek-projek yang memerlukan perhatian terutama berkaitan infrastruktur.
”Kami telah menyerahkan senarai 23 projek bernilai RM14.03 bilion kepada Kementerian Kewangan pada 14 September lalu untuk pertimbangan,” katanya. –UTUSAN