Bajet 2023: Penoreh, petani harap nasib terbela - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Penoreh, petani harap nasib terbela

BAHARUDIN Awang Kasa mengharapkan kerajaan dapat memberi perhatian penuh kepada mereka terutamanya pada musim tengkujuh melalui Bajet 2023 ketika ditemui di Kampung Tong Pelu, Pedu di Padang Terap. -UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Para petani dan penoreh getah sangat berharap kerajaan memberikan perhatian penuh terhadap nasib mereka melalui pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini dengan menyediakan peruntukan dan program tertentu menerusi agensi-agensi yang terlibat.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pokok Sena dan daerah ini mendapati, rata-rata mereka mengharapkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak meminggirkan golongan berkenaan.

Baharuddin Awang Kasa, 60, dari Kampung Tong Pelu, Pedu berkata, kerajaan perlu menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.50 sekilogram (kg) supaya penoreh yang bergantung sepenuhnya kepada komoditi itu dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.

Katanya, kejatuhan harga getah ke paras RM2.30 pada hari ini cukup membebankan mereka apatah lagi dengan kenaikan harga barang keperluan asas.

“Bayangkan dengan harga itu kami terpaksa bahagi dua dengan pemilik kebun. Macam mana hendak meneruskan kehidupan apatah lagi dengan musim hujan sejak akhir-akhir ini hingga kami terpaksa gantung pisau toreh.

 “Sumber pendapatan kami sangat terhad dan terpaksa berhutang buat sementara waktu sehingga cuaca pulih kembali. Saya cadangkan juga supaya setiap penoreh akan dapat bantuan one-off  setiap kali musim hujan bagi meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hussin Ahmad, 52, dari Kampung Baharu, Pokok Sena turut meluahkan harapan sama agar Bajet yang akan dibentangkan nanti akan memberi sinar baharu kepada penoreh pada masa akan datang.

Katanya, jika kerajaan dapat meningkatkan harga getah sudah pasti tidak ada lagi masalah kemiskinan di kawasan luar bandar seperti hari ini.

“Saya yakin dengan kenaikan semula harga akan membolehkan ramai beralih untuk bekerja sebagai penoreh getah. Tetapi malangnya sejak harga jatuh ramai penoreh sudah tinggalkan pekerjaan yang menjadi warisan sekian lama.

“Ia terbukti apabila ramai penoreh getah terutamanya daripada golongan muda sudah mula berhijrah ke pekerjaan lain manakala pemilik kebun getah pula sudah banyak mula menebang pokok bagi menanam tanaman lain yang lebih menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, pesawah, Rani Baharom, 71, dari Kampung Alor Berala, Pendang pula berkata, ramai pesawah kini mengeluh dengan kenaikan harga baja dan racun hingga menyebabkan petani sentiasa menanggung kerugian.

“Diharapkan dengan Bajet pada kali ini, kerajaan dapat kurangkan duti import baja dan racun yang dikatakan punca harga melonjak naik. Saya yakin jika harga racun dan baja dapat dipulihkan para petani tidak akan mengeluh lagi.

“Begitu juga sistem pengairan sering menjadi masalah kepada kami dengan alasan yang diberi oleh pihak bertanggungjawab adalah tiada peruntukan. Kerja-kerja baik pulih saliran sedia ada sangat diperlukan supaya tidak berlaku lagi banjir di sawah-sawah,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya