PETALING JAYA : Penjawat awam yang bertugas di bahagian sokongan dikesan lebih mudah terlibat dan terdedah dalam kes-kes rasuah.
Keadaan ini dapat dilihat apabila sebanyak 2,177 daripada 3,051 penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh enam tahun sejak 2016 sehingga September lalu melibatkan mereka yang bertugas di bahagian berkenaan.
Data ini diperoleh Utusan Malaysia menerusi laman rasmi SPRM yang dimuat naik agensi itu sebagai rujukan dan paparan awam.
Berdasarkan rekod sama, Utusan Malaysia mendapati sebanyak 6,469 individu yang bertugas di sektor awam dan swasta telah ditahan SPRM dalam tempoh sama kerana terbabit dalam aktiviti rasuah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,051 tangkapan membabitkan penjawat awam diikuti 3,418 lagi terdiri mereka yang bertugas di sektor awam termasuk orang awam yang memberi dan menerima rasuah.
Jika dilihat statistik berkenaan, bahagian sokongan menunjukkan paling ramai yang ditahan terlibat dalam rasuah diikuti mereka yang bertugas di bahagian pengurusan dan profesional iaitu 807 tangkapan sahaja.
Bagi pengurusan tertinggi awam pula, Utusan Malaysia mendapati hanya 67 tangkapan yang direkodkan.
Dalam pada itu, sepanjang tempoh sama, tangkapan tertinggi dilakukan SPRM membabitkan sektor awam dan swasta iaitu pada 2019 iaitu dengan 1,101 individu ditahan pada tahun berkenaan diikuti 2020 (998 individu) selain 2016 (939 individu).
Selain itu, sebanyak 894 tangkapan dilakukan pada 2018 manakala 2017 dengan 879 individu diberkas dan 2021 (851 individu).
Bagi tahun ini pula, sebanyak 807 tangkapan telah dilakukan SPRM sejak Januari sehingga September lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menerusi ucapan sempena 55 tahun penubuhan SPRM memaklumkan, sebanyak 1,313 pertuduhan dilakukan pihaknya pada 2020 hingga Ogos lalu.
Azam memberitahu, pertuduhan berkenaan dibuat selepas SPRM menahan 2,553 individu.
“Pertuduhan tertinggi dilakukan iaitu pada 2020 dengan 522 individu diikuti Januari sehingga Ogos tahun ini (266 individu) dituduh,” katanya.
Azam menjelaskan lagi, penglibatan golongan wanita dalam kes salah laku rasuah juga dilihat semakin berleluasa apabila 824 individu ditahan SPRM bagi 2017 sehingga Ogos lalu.
Beliau berpendapat, perkara ini berlaku mungkin disebabkan golongan wanita sekarang sudah memegang jawatan yang tinggi sama seperti lelaki, oleh itu, mereka juga terdedah kepada ruang dan peluang untuk menerima atau memberi rasuah. –UTUSAN










