ATS bakal bawa jemaah umrah terus dari Kuching ke Jeddah -

ATS bakal bawa jemaah umrah terus dari Kuching ke Jeddah

A. Aziz Ahmad bercakap kepada pemberita pada Penerbangan Sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jemaah umrah dari Sarawak tidak perlu lagi transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk ke tanah suci bagi menunaikan ibadah tersebut.

Perkara tersebut diberitahu ATS Global Travel & Charter Sdn. Bhd. susulan pelantikan eksklusif syarikat itu sebagai agensi jualan am (GSA) Kuwait Airways untuk pasaran Malaysia.

Menurut Pengerusinya, Datuk A. Aziz Ahmad, syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu sudah mendapat maklum balas positif kerajaan Sarawak bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Ini juga selaras dengan misi kerajaan negeri berkenaan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebagai hab umrah bagi umat Islam Borneo,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, beliau dengan Pengurus Kanan Negara Malaysia Kuwait Airways, Ali Alkhuzaiem menyambut ketibaan kumpulan pertama penerbangan semula operator itu ke KLIA hari ini.

Seramai 297 penumpang dan 12 kru kabin turut diraikan manakala pemain bola sepak terkenal tanah air, Safee Sali sebagai jemputan khas mengagihkan cenderahati berupa bunga ros dan coklat.

Kuwait Airways akan terbang setiap Isnin dan Khamis dengan pesawat Boeing 777-300ER dengan kekerapan kemungkinan besar ditambah lagi bulan depan jika mendapat sambutan baik.

Mengulas lanjut, A. Aziz berkata, ketika ini, memang tiada langsung penerbangan terus ke lapangan terbang di tanah suci bagi umat Islam di Sarawak dapat mengerjakan ibadah umrah.

“Justeru, kami berminat menjadi perintis menawarkan perkhidmatan ini dengan Kuwait Airways yang terbang sama ada ke terminal Jeddah atau kota suci Madinah di Arab Saudi,” jelasnya.

Langkah itu ujarnya, dijangka dapat menarik ramai umat Islam di negeri jirannya, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan selain Brunei dan lima wilayah Kalimantan, Indonesia sendiri.

Bahkan, beliau optimis usaha menjadikan Kuching sebagai hab umrah kedua selepas KLIA akan membolehkan masyarakat Islam di selatan Filipina mengerjakan ibadah itu lebih mudah.

ATS katanya yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan sewa khas penerbangan sejak ditubuhkan pada 2015 lalu yakin, usaha murni kerajaan Sarawak itu amat tepat pada masanya.

Tambahan pula, sektor penerbangan global kembali pulih selepas dua tahun ‘lesu’ akibat isu kebimbangan wabak Covid-19 dan ramai orang mula menaiki pesawat untuk pelbagai tujuan.

Aziz malah menyifatkan hab umrah di Kuching agak strategik yang merancakkan ekonomi Segi Tiga Pertumbuhan ASEAN Timur melibatkan Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.

“Pada masa sama, kami difahamkan ramai pelancong Kuwait selain negara-negara Asia Barat mahu datang bercuti ke Malaysia dan peluang emas sebegini patut direbut segera,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilakah rancangan itu akan dapat dilaksanakan tetapi memberi bayangan bahawa penerbangan terus tersebut dilakukan dalam masa yang terdekat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya