Agong kecewa politik semasa, perkenan bubar Parlimen -

Agong kecewa politik semasa, perkenan bubar Parlimen

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa justeru tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

Kata kenyataan itu, Seri Paduka juga menegaskan negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara semalam.

“Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pukul 12 tengah hari itu. Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka bagi pembubaran Parlimen Ke-14 berkuatkuasa 10 Oktober 2022,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut Istana Negara, setelah memperhalusi permintaan itu, Seri Paduka selaras dengan kuasa-kuasa sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

“Seri Paduka juga mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.

Sebelum ini seramai 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Seri Paduka berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan surat berkenaan antara lain menyatakan persetujuan supaya pilihan raya umum tidak diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen yang disiarkan secara langsung di seluruh negara sekali gus membolehkan PRU15 diadakan.

Serentak itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya