Adakah Dr. M boleh terima Anwar jadi PM?

Adakah Dr. M boleh terima Anwar jadi PM?

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad sukar menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ia melibatkan soal penerimaan beliau terhadap cadangan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng beranggapan adalah sukar untuk PH kembali bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu kerana beliau dilihat tidak boleh menerima segala prinsip yang ditetapkan PH.

“Semalam Anwar sudah jawab tetapi, saya rasa sukar untuk menjalinkan kerjasama dengan Dr. Mahathir dan saya tidak dapat lihat macam mana mahu bersama kembali. Timbul beberapa persoalan yang datang daripada dia sendiri.

“Adakah dia boleh terima segala prinsip yang dipersetujui dalam PH dan kena terima Anwar sebagai calon Perdana Menteri seperti yang diumumkan sebelum ini. Kita juga tidak bincang perkara ini dalam Majlis Presiden,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kesediaan Dr. Mahathir untuk bertemu Anwar bagi menawarkan kerjasama dengan PH menjelang PRU15 sekali gus membentuk semula gandingan yang pernah wujud pada 2018 yang berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

“Saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikiran macam saya. Kalau saya perlu memulakan langkah, saya akan lakukan. Orang mahu kata saya tidak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya,” kata Dr. Mahathir.

PRU14 menyaksikan PH yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak tahan lama dan selepas 22 bulan menerajui kerajaan, PH tumbang apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan parti itu keluar secara rasmi daripada gabungan PH selain beberapa ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, tiada arahan terkini berhubung kesediaan Dr. Mahathir untuk bekerjasama dengan PH.

“Kita sebelum ini sudah menjalinkan kerjasama dengan Dr. Mahathir, waktu itu, kita tahu apa berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×