93,000 biji telur ayam habis dijual dalam tempoh tiga jam -

93,000 biji telur ayam habis dijual dalam tempoh tiga jam

ORANG ramai beratur untuk membeli telur ayam di sebuah kedai di bandar Cukai, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebanyak 93,000 biji telur ayam pelbagai gred habis dijual dalam tempoh kurang tiga jam di sebuah kedai pemborong telur, di bandar Chukai, di sini, hari ini.

Pemilik kedai telur, Alfian Ibrahim, 53, berkata, premis kedainya mula diserbu pembeli seawal pukul 7 pagi sebaik sahaja pekerjanya membuka kedai.

“Saya baru sahaja dapat bekalan telur awal subuh, pagi ini. Sebaik sahaja kedai dibuka, lebih 100 orang pembeli menyerbu kedai saya setiap masa.

“Dalam masa tak sampai tiga jam, 3,100 papan telur dengan lebih 90,000 biji habis terjual. Biasanya, jumlah yang sama saya dapat jual untuk tiga hari, tetapi berikutan kekurangan bekalan, kedai saya diserbu dan semuanya licin dijual,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.

Alfian berkata, dia terpaksa mengehadkan pembelian dua hingga lima papan seorang bagi pembeli dan peniaga makanan bagi membolehkan setiap individu yang berkunjung ke premisnya mendapat bekalan telur.

“Pelanggan yang datang membeli bukan sahaja dari daerah Kemaman, malah ada beberapa pengusaha kuih dan peniaga kedai makan yang sanggup memandu lebih 60 kilometer dari Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang untuk beli telur,” katanya yang menjual telur mengikut harga subsidi yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Alfian, kekurangan bekalan telur bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada perniagaannya.

“Sebelum ini, saya dapat bekalan hingga 6,000 papan telur untuk sekali penghantaran dari ladang, namun sekarang ini hanya dapat separuh sahaja untuk sekali penghantaran.

“Sebelum ini, kedai saya dibuka enam hari seminggu, namun, bila bekalan telur berkurangan, saya hanya dapat berniaga sehari seminggu iaitu pada hari Rabu,” katanya yang turut mencari alternatif lain untuk membayar gaji enam pekerjanya.

Sementara itu, peniaga kuih tradisional, Zaleha Ismail, 45, berkata, dia bertolak dari Dungun, seawal pukul 7 pagi untuk membeli telur di premis tersebut.

“Saya berniaga kuih tradisional seperti penganan dan akok, memang memerlukan telur yang banyak. Saya dah cari telur merata-rata dari Dungun ke Paka, Kerteh dan Kemaman untuk dapatkan bekalan telur,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.