Zakir Naik mahu umat Islam manfaat media sosial demi dakwah -

Zakir Naik mahu umat Islam manfaat media sosial demi dakwah

DR. ZAKIR NAIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemunculan semula pendakwah asing terkenal, Dr. Zakir Naik ternyata menjadi antara tarikan Konvensyen Antarabangsa Melestari Pembangunan Gerakan Dakwah 2022.

Meskipun kali ini beliau tidak berdebat, namun, penampilan eksklusif dirinya bagi memberikan ucap utama program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu tetap ada menyerlahkan auranya.

Malah, Tokoh Maal Hijrah 2013 yang berasal dari India dan kini berstatus Penduduk Tetap Malaysia itu masih lagi petah menyampaikan hujah secara spontan dalam slot Bicara Tokoh.

Dengan tajuk ‘Dakwah: Penyatuan Ummah Antarabangsa Era Norma Baharu’ yang diadakan di Hotel Dorsett di sini hari ini, tempoh sejam berucap beliau dirasakan seperti agak singkat.

“Sebenarnya, umat Islam di seluruh dunia tidak perlu bimbang memanfaatkan media sosial sebagai wadah dakwah yang berkesan dan mampu menyaingi gerakan anti-Islam,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji pelbagai badan hal ehwal Islam di Malaysia yang aktif dalam penyebaran dakwah dan menangkis bijak serangan musuh Islam dari pelbagai isu panas.

Sesi pembuka bicara itu dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Aminudin Hehsan sebagai moderator.

Zakir, 56, merupakan Presiden dan Pengasas Yayasan Penyelidikan Islam serta rangkaian stesen Peace TV yang berpangkalan di India dengan liputan siarannya meliputi seluruh dunia.

Bagaimanapun, pasportnya dibatalkan kerajaan India pada 2016 kerana kononnya terlibat jenayah, namun, Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) menyifatkan kes itu sebagai bermotif politik.

Beliau kemudian memilih untuk bermastautin di Malaysia meskipun ada 15 negara turut membuat tawaran sama kerana menyifatkan negara ini lebih selamat dan mesra syiar Islam.

Yadim menerusi kenyataan memaklumkan, selain berlangsung secara fizikal dengan tempat terhad, orang awam boleh menonton program menerusi laman sosial rasmi agensi ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuah Soh.  

Beliau kemudian turut melancarkan satu lagi penerbitan makalah terbaharu agensi tersebut sempena program itu yang bertajuk ‘International Journal of Islam and Contemporary Affairs’.

Beberapa sesi bicara intelektual yang membabitkan pelbagai ramai akademik Islam termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia terlibat pada pengisian konvensyen selama dua hari itu. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN