PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak menolak penglibatan warga tempatan yang memainkan peranan menyeludup mangsa penipuan kerja ke Thailand sebelum diculik ke negara ketiga.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hasil maklumat mendapati ada mangsa pergi melalui jalan sah serta mempunyai pas perjalanan ke negara tertentu seperti Thailand sebelum mereka diculik ke negara ketiga.
“Bagaimanapun, terdapat mangsa yang tidak mempunyai pasport terlepas dan kita percaya penglibatan ejen daripada rakyat tempatan bagi menyeludup mereka ke Thailand sebelum ke Myanmar, Laos dan Kemboja melalui jalan tikus.
“Kita juga percaya kegiatan sindiket penipuan tawaran kerja ini dilindungi pihak-pihak tertentu di sana kerana pelbagai cara telah dilakukan namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelas beliau, setakat ini MHO menerima 27 laporan dan maklumat daripada keluarga mangsa.
Katanya, beliau juga mencadangkan Jabatan Imigresen menyemak perjalanan rakyat terutamanya belia di bawah 40 tahun yang mencurigakan.
Ujar beliau, tindakan itu boleh diambil terhadap individu yang tidak pernah mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut atau ke sana atas alasan bekerja.
“Berapa ramai lagi yang nak jadi mangsa sindiket, malah difahamkan ada rakyat kita yang meninggal dunia dan ditinggalkan di Thailand,” katanya. – UTUSAN










