Tapak sekolah jadi tempat pembuangan sampah - Utusan Malaysia

Tapak sekolah jadi tempat pembuangan sampah

AZMIZAM Zaman Huri ketika melawat lokasi pembuangan sampah haram di Pandamar Indah, Pelabuhan Klang, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berasa marah dan terkilan apabila tanah yang sepatutnya menjadi lokasi sekolah di Kampung Pendamar, kini, rosak teruk disebabkan aktiviti pembuangan sampah haram.

Menurutnya, tanah seluas 6.47 hektar di Lot 128166 tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan disewakan dengan nilai RM27,000 sebulan sejak tahun 2017 kepada sebuah syarikat dengan tujuan untuk tujuan membina setor.

“Sepatutnya syarikat tersebut perlu meminta kebenaran agensi teknikal seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah Dan Daerah dan lain-lain sebelum mendapat Kebenaran Merancang Pembangunan struktur di sini.

“Syarikat yang menyewa di sini suratnya tamat pada 30 Jun 2020. Kemungkinan besar kawasan ini telah menjadi tapak pembuangan sampah haram sejak tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersepadu bersama agensi JKPTG, MPK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Terdahulu, lokasi tersebut tular dalam video Tik Tok yang mana pihak di dalam klip video tersebut mempersoalkan apakah tindakan Azmizam dan Ahli Parlimen Klang terhadap isu tapak pembuangan sampah haram itu.

Azmizam berkata, lebih menghairankan beliau apabila tanah yang sama kini disewakan JKPTG kepada syarikat lain.

Katanya lagi, penyewa baharu difahamkan dihalang untuk masuk ke lokasi oleh pihak tertentu seolah-olah ada dalang yang masih mengawal aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak yang menjadi dalang kepada aktiviti pembuangan sampah hingga merosakkan struktur tanah di lokasi itu perlu bertanggungjawab daripada sudut perundangan.

“Hasil pemantauan saya sampah yang dilupus di sini adalah sampah import melibatkan sisa barang elektronik. Adakah tapak ini masih sesuai dan selamat untuk didirikan sekolah.

“Bau sampah yang busuk di sini akan bertambah busuk menjelang malam. Kawasan keliling terdapat taman perumahan melibatkan 10,000 penduduk,”katanya.

Justeru, katanya lagi, pihak JKPTG perlu membuat kajian sebelum menyewakan tapak yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram itu kepada pihak lain.

Beliau menambah, lokasi tersebut juga kini menjadi punca kepada banjir kilat apabila hujan lebat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya