PETALING JAYA: Tawaran ke universiti awam bagi program ijazah sarjana muda yang diumumkan sejak Ahad lalu mencetuskan kemarahan ekoran terdapat pemohon yang cemerlang tetapi gagal mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Mereka yang mendapat tempat di universiti pula tidak berpuas hati kerana kursus yang ditawarkan tidak sama seperti yang dimohon atau tidak setimpal dengan kelulusan yang dimiliki.
Sebahagian besar mereka menyalahkan sistem permohonan Unit Pengambilan Universiti (UPU) yang didakwa tidak adil dalam memilih calon daripada pelbagai peringkat termasuk lepasan asasi, matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bukan sahaja pelajar yang meluahkan kemarahan tetapi ibu bapa turut campur tangan dengan ada yang melabelkan sistem kemasukan ke universiti awam sebagai ‘tidak betul’.
Seorang lepasan STPM, Muhammad Hakiki Fahmi berkata, terlalu banyak peringkat yang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyebabkan pihak pengurusan tidak dapat menguruskannya dengan baik.
Katanya, sistem UPU juga tidak adil bagi pelajar yang tidak berjaya kerana rayuan dihadkan kepada empat pilihan program sahaja.
Peraturan itu, katanya, menyukarkan pelajar untuk memilih program dikehendaki atas sebab bimbang dan takut gagal menyambung pelajaran.
MASALAH
Bagi mereka yang mungkin berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), ia tidak mendatangkan masalah tetapi, bagaimana dengan nasib mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan hanya mengharapkan universiti awam untuk mengubah hidup,” soalnya.
Kata Muhammad Hakiki, pokok pangkalnya yang `dinafikan’ penempatan di universiti itu secara rasional lebih daripada layak untuk menyambung pelajaran ke universiti kerana keputusan membabitkan kalangan yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.75 hingga 4.00.
Perasaan sama dikongsi pelajar yang ingin dikenali sebagai Balqis yang berkata, beliau layak untuk memohon kursus diinginkan kerana memperoleh merit tinggi dan menerima keputusan baik peringkat diploma tetapi perkara sebaliknya terjadi.
“Saya mohon 12 program termasuk akauntan dan perniagaan, tapi satupun tak dapat. Apa sebenar cara pemilihan kemasukan UPU,” tanya Balqis.
Kata gadis itu lagi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak boleh membiarkan pelajar-pelajar yang layak ini berasa kecewa kerana ia menunjukkan kelemahan sistem pendidikan negara.
“Jika pelajar memenuhi kelayakan belajar di universiti awam, kerajaan kena sediakan kuota yang lebih banyak untuk pelajar layak. Jika tidak pelajar berasa kebolehan yang ada hanya sia-sia,” katanya.
KEKECEWAAN
Oleh itu, kata Balqis, kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan menyelesaikan kekecewaan pelajar yang seperti `teraniaya’ dan ahli keluarga turut merasa kecewa.
Isu ketidakpuasan pelajar yang tidak mendapat tempat itu kecoh di media sosial apabila semakan keputusan UPUOnline bagi lepasan STPM dan setaraf dibuka sejak kelmarin (25 September) hingga 4 Oktober.
Sementara itu, pelajar lepasan diploma kejuruteraan mekanikal, Muhammad Firdaus Mohd. Azly Lee berkata, beliau juga kecewa kerana tidak mendapat tempat di universiti awam.
“Saya tidak berjaya menempatkan diri untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanik sedangkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) saya adalah 3.95.
“Sepatutnya pihak pengurusan perlu membuat pemilihan yang lebih bagus seperti Perkhidmatan Kemasukan Universiti dan Kolej (UCAS), maklumkan kenapa pelajar itu kena dia tidak berjaya menempatkan diri ke universiti,” katanya.
MENLANJUTKAN
Luah Muhammad Firdaus lagi, beliau layak melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu di Universiti Nottingham dan Universiti Sheffield, United Kingdom (UK) tetapi menolak tawaran tersebut kerana ingin melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.
Seorang lagi pelajar cermelang asasi daripada IPTS dengan CGPA 3.83 yang hanya ingin dikenali sebagai Anis turut merasakan sistem UPU tidak adil kerana lebih mementingkan pelajar-pelajar daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) terlebih dahulu sebelum membuka ruang kepada pelajar universiti swasta.
“Walaupun sesetengah pelajar STPM dan setaraf daripada IPTA mendapat CGPA rendah, mereka tetap mendapat tawaran berbanding pelajar-pelajar daripada institut pengajian tinggi swasta ( IPTS) yang mempunyai keputusan cemerlang.
“Saya berharap pihak UPU lebih mementingkan kecemerlangan pelajar yang memiliki CGPA tertinggi berbanding mengikut turutan sistem susunan pelajar kerana ini tidak adil sama sekali bagi kami lepasan pelajar IPTS,” ujarnya.
Bagi Rina, 19, pelajar asasi sebuah IPTA, keputusan peperiksaan yang baik dengan CGPA 3.66 bukan jaminan untuk mendapat kursus yang diinginkan.
Jelasnya, meskipun kurang meminati bidang biologi, namun beliau ditawarkan untuk mengikuti bidang mikrobiologi di peringkat sarjana muda.
“Bukan sahaja saya berdepan masalah ini, ada juga rakan-rakan saya yang memohon kursus kejuruteraan tetapi ditawarkan kursus matematik. Bayangkan cabaran yang bakal kami tempoh sepanjang empat tahun pengajian nanti,” katanya.- UTUSAN










