GEORGE TOWN: Masih ada masa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini dan perkara itu akan dibincangkan dengan lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ‘Top 5’ sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini bagi membincangkan tarikh pembubaran Parlimen.
“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, sebarang keputusan (tarikh pembubaran Parlimen) hanya akan dibuat oleh ‘Top 5’ UMNO,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Bayan Baru semalam.
Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya sama ada masih ada masa untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini memandangkan hanya ada kira-kira tiga bulan sahaja sebelum melangkah ke tahun baharu.
Dalam tempoh singkat itu, kerajaan bukan sahaja perlu membentang Bajet 2023 pada bulan depan, malah harus mengambil kira musim tengkujuh yang dijangka bermula pada pertengahan November.
Ditanya sama ada beliau akan membentangkan Bajet 2023, Ismail Sabri menjawab: “Tunggu sahaja 7 Oktober ini (hari pembentangan Bajet 2023)”.
Merujuk
Barisan ‘Top 5’ pimpinan UMNO itu merujuk kepada Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memberi jaminan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang akan menerima rawatan terbaik daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap masalah kesihatan yang dihadapinya ketika ini.
Kesihatan Najib dilaporkan tidak memuaskan apabila dikatakan berdepan dengan masalah tekanan darah yang tidak stabil akibat pertukaran ubat darah tinggi, selain masalah ulcer dalam perut.
Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, inisiatif Malaysia Digital (MD) berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion hanya dalam tempoh dua bulan ia dilancarkan iaitu pada Julai lalu.
Katanya, nilai itu dijana melalui pelaburan 28 syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data; Penyedia Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT); Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services (GBS).
Beliau memberitahu, negara turut merekodkan Pelaburan Digital Langsung Domestik sebanyak RM4.76 bilion setakat 24 Ogos lalu.- UTUSAN










