Selesai dahulu isu pencemaran babi di Tanjung Sepat

Selesai dahulu isu pencemaran babi di Tanjung Sepat

SALIRAN air berwarna hitam dan berbau busuk mengalir ke laut di Tanjong Sepat. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Biarpun janji pem­binaan ladang ternakan babi moden di Tanjung Sepat, Sepang, Selangor tidak mampu dilaksanakan sejak 15 tahun lalu, masalah pencemaran yang menghantui penduduk di situ wajib diselesaikan segera.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, isu pencemaran alam sekitar dan bau dari ladang ternakan itu sudah lama dibangkitkan kepada pihak berkuasa negeri termasuk mengusulkan kepada Majlis Daerah Kuala Langat selain membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar.

Malangnya, beliau memberi­tahu, tiada apa-apa tindakan dibuat sehingga kini dan penduduk terus menderita akibat pencemaran itu yang berada tidak jauh dengan kawasan perumahan.

“Saya mohon kalau kementerian berkaitan dapat mengambil inisiatif memeriksa situasi ini dalam masa terdekat agar ladang-ladang ini dapat dibaik pulih sekurang-kurangya sistem kumbahan.

“Kita percaya pelaksanaan ladang moden tidak dapat dilaksanakan segera, tetapi masalah pencemaran ini wajib diselesaikan. KIta boleh lihat sendiri segala sisa buangan terus ke longkang, parit dan sungai dan terus ke laut. Ini perkara sangat mendesak untuk mengambil tindakan.

“Jika ada kesalahan, pihak yang salah guna tanah ini secara tidak betul, mungkin tanah ini boleh disita atau diambil balik oleh kerajaan negeri. Tindakan lebih agresif perlu difikirkan,” katanya di sini semalam.

Laporan eksklusif Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat, di sini.

Terdapat 168 kandang ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk dengan anggaran 200,000 ekor babi diternak pada satu-satu masa untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Dalam pada itu, menurut Noorazli, Tanjung Sepat mempunyai persisiran pantai cantik dan berpotensi dimajukan untuk sektor pelancongan bermula dari Pantai Morib sehingga Bagan Lalang.

Namun, katanya, akibat pen­cemaran ekosistem di kawasan pantai ini terjejas.

“Kalau tengok Gold Coast Morib dan Bagan Lalang, pembangunan di sekitar dua tempat ini seolah-olah terhenti kerana masalah pencemaran. Kawasan ini berpotensi, tetapi pencemaran keterlaluan ini menyebabkan banyak syarikat pelaburan tak sanggup meneruskan agenda pelaburan ini.

“Ia sudah menjadi kawasan mati, menjadi pekan tercorot dalam pembangunan dalam Selangor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×