KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak mendapat maklumat bila Parlimen akan dibubarkan meskipun terdapat desas-desus Dewan Rakyat akan dibubarkan pada awal Oktober.
Ini kerana, jelasnya beliau tidak terbabit dalam perbincangan untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen.
“Saya tidak terlibat, saya tidak tahu menahu, saya tidak akan di consult (runding), tidak akan dibincangkan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama media di bangunan Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang mengatakan tarikh pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Azhar turut berkata, pembubaran Parlimen adalah bidang kuasa Perdana Menteri setelah menasihati Yang di-Pertuan Agong.
“Dan sekiranya dinasihati berbuat demikian, Agong mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ditanya jika pembubaran Parlimen selepas Bajet dibentangkan pada 7 Oktober ini, adakah bajet berkenaan boleh diguna pakai oleh kerajaan baharu, Azhar berkata :
“Kalau ada pembubaran, maka akan ada satu kerajaan baharu. Jadi, kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.
“Boleh guna (belanjawan lama). Kalau nak guna. Tak tahu kalau kerajaan berbeza, nak guna, guna lah,” jelasnya lagi.
Menurut Azhar, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali pertama akan dibentang pada 5 Oktober ini iaitu dua hari sebelum pembentangan Belanjawan 2023 dibuat.
Untuk rekod, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 29 Oktober 1999 telah membubarkan Parlimen selepas 10 pembentangan Bajet 2000, sekali gus bajet berkenaan tidak sempat diluluskan. –UTUSAN