TEL AVIV: Israel mengumumkan rancangan menyerang kawasan berhampiran lintasan utama antara Syria dan Lubnan. Rancangan itu diumumkan selepas Tel Aviv mengesahkan jumlah anggota tentera Israel yang terbunuh di selatan negara itu meningkat kepada 11 orang sejak memulakan operasi darat terhadap Hizbollah bulan lalu.
Tentera Israel berkata, seorang anggotanya, Leftenan Sarjan Kelas Pertama Guy Ludar, berusia 21 tahun terbunuh pada Sabtu dalam pertempuran di selatan Lubnan sambil menggesa penduduk supaya berpindah segera ketika serangan berterusan di seluruh negara.
Israel melancarkan serangan di seluruh Lubnan dan memulakan pencerobohan darat di selatan negara itu sejak 2 Mac, selepas Hizbollah menyertai perang di Asia Barat untuk menyokong Iran.
“Disebabkan penggunaan lintasan Masnaa oleh Hizbollah untuk tujuan ketenteraan dan penyeludupan peralatan tempur, tentera Israel berhasrat melancarkan serangan ke atas lintasan itu dalam masa terdekat,” kata jurucakap tentera berbahasa Arab, Avichay Adraee sambil menggesa orang ramai meninggalkan kawasan berkenaan.
Sumber keselamatan Lubnan di lintasan sempadan Masnaa memberitahu AFP mereka kini sedang mengosongkan lintasan itu susulan ancaman Israel.
Sementara itu, di Syria, Pengarah Perhubungan Awam Pihak Berkuasa Am Sempadan dan Kastam, Mazen Aloush berkata, lintasan itu, yang dikenali sebagai Jdeidet Yabous di sebelah Syria digunakan sepenuhnya untuk tujuan awam.
Aloush berkata, susulan amaran yang tersebar dan demi keselamatan para pengembara, pergerakan di lintasan itu akan digantung sementara sehingga sebarang risiko berpotensi reda.
Seorang wartawan AFP di bahagian Syria lintasan itu berkata awal pagi Ahad, kawasan berkenaan kosong, dengan hanya beberapa pengawal masih berada di situ.
Masnaa merupakan lintasan utama antara Lubnan dan Syria, menjadikannya laluan perdagangan penting bagi kedua-dua negara serta pintu darat utama Lubnan ke rantau lain.
Israel pernah menyerang lintasan itu pada Oktober 2024 ketika perang sebelumnya dengan Hizbollah.
Dalam satu kenyataan, kementerian kesihatan Lubnan berkata, serangan di Maaraka, berhampiran Tyre, mengorbankan lima orang dan mencederakan seorang penduduk.
Bedilan rejim di Habbush pula membunuh sekurang-kurangnya dua kanak-kanak perempuan dan mencederakan 22 orang, Serangan di al-Hawsh berhampiran bandar pesisir Tyre mencederakan 18 orang, termasuk seorang kanak-kanak, tiga wanita dan tiga petugas perubatan. Serangan di al-Hawsh turut merosakkan sebuah hospital utama berhampiran, menurut kementerian itu.
Serangan Israel ke atas sebuah kafe berhampiran Tasik Qaraoun, di kawasan hulu Sungai Litani di Bekaa Barat turut mencederakan beberapa orang.
Perang itu menyebabkan lebih sejuta penduduk di Lubnan kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan lebih 1,400 orang di negara itu, termasuk 54 petugas perubatan serta tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Indonesia di selatan.
Pada Sabtu, seorang pegawai keselamatan PBB memberitahu AFP, tentera Israel memusnahkan 17 kamera pengawasan yang mempunyai kaitan dengan ibu pejabat utama Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) di Naqura.- AFP










