PETALING JAYA: Sektor perladangan dijangka terus mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dan pelaksanaan mandat biodiesel di peringkat global, termasuk Indonesia dan Malaysia.
RHB Investment Bank Berhad berkata, analisis sensitivitinya menunjukkan kebanyakan harga saham perladangan masih mencerminkan harga MSM di bawah RM4,400 setan.
“Kami masih mengesyorkan pelabur mengambil pandangan perdagangan yang bersifat taktikal positif, kerana perladangan dijangka mendapat manfaat selagi konflik di Asia Barat berterusan, memandangkan harga MSM mempunyai pengaruh yang lebih tinggi terhadap pendapatan.
“Sejak permulaan perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, harga MSM telah meningkat 19 peratus kepada purata RM4,188 setan, selari dengan lonjakan harga minyak mentah global sebanyak 46 peratus.
“Lonjakan ini juga dijangka mendorong mandat biodiesel lebih tinggi, termasuk pengumuman Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) di AS yang meningkatkan keperluan biofuel untuk 2026-2027,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan berkata, di Malaysia, terdapat juga perbincangan mengenai pelaksanaan semula mandat biodiesel B20, dengan beberapa ahli politik menyatakan bahawa B20 akan lebih murah berbanding harga diesel pasaran semasa sebanyak RM0.20 seliter.
Katanya, jurang harga antara minyak sawit dan gas kini berada di zon negatif, dengan harga sawit lebih rendah daripada gas sebanyak AS$34 (RM137) setong pada masa ini.
“Mandat B10 semasa di Malaysia menggunakan 1.3 hingga 1.4 juta tan MSM, manakala mandat B20 akan menggunakan jumlah dua kali ganda, iaitu 2.6 hingga 2.8 juta tan,” ujarnya.
RHB berkata, pihaknya telah menjalankan analisis sensitiviti ke atas pendapatan dan harga sasaran (TP) saham dibawah liputannya, berdasarkan pelbagai andaian harga MSM.
“Daripada analisis ini, kami menganggarkan bahawa kebanyakan saham masih mencerminkan harga MSM tahunan di bawah RM4,400 setan untuk 2026
“Kami mengekalkan pandangan perdagangan taktikal positif terhadap sektor ini. Walaupun mandat B50 Indonesia positif untuk sektor ini, kami tetap berhati-hati terhadap risiko geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan harga komoditi yang melampau.
“Pemangkin lain untuk diperhatikan termasuk El Nino dan penyelesaian tarif China dan AS,” jelasnya.
Tambahnya, saham pilihan utamanya adalah Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corp, PP London Sumatra Indonesia, SD Guthrie dan First Resources. – UTUSAN









