PETALING JAYA: Seorang pesara warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Mei lalu.
Tertuduh, Fong Heng Leong, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Proton X70 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Azim Haikal Noor Aziddin, 22, pada pukul 1.42 petang, 5 Mei lalu di Jalan 17/21, Petaling Jaya di sini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan bapa empat anak itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu lelaki itu digantung sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 September ini.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sadiah Fasihah Che Yusoff manakala Heng Leong diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan 17/21, Petaling Jaya.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton X70 dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran berkenaan, penunggang motosikal berumur 22 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN










