GEORGE TOWN : Kerajaan negeri kini sedang merangka satu projek perlindungan pantai jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi menangani isu hakisan yang semakin teruk khususnya di sekitar Batu Ferringhi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan ketika ini, ia sedang berada dalam fasa untuk melantik perunding sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan.
Katanya, projek itu secara umumnya merangkumi kerja-kerja pembinaan struktur saluran keluar atau ‘outfall’ dan struktur perlindungan hakisan pantai serta kaedah pemulihan pantai (beach nourishment) berdasarkan hasil kajian dan reka bentuk akhir oleh perunding yang dilantik.
“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kadar hakisan sedia ada, malah, ia mampu menstabilkan garis pantai serta melindungi infrastruktur, aset awam dan kawasan pelancongan di Batu Ferringhi secara mampan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, ketika ini, kerja-kerja pemasangan ‘beach container’ seperti pemasangan beg pasir sebagai benteng bagi mencegah hakisan sedang giat dilakukan di bawah langkah mitigasi jangka sederhana sementara menunggu projek perlindungan pantai secara menyeluruh dilaksanakan.
“Berdasarkan penilaian teknikal oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), langkah mitigasi itu dijangka mampu bertahan untuk tempoh antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada keadaan cuaca, ombak, keadaan pasang surut air laut serta kejadian cuaca ekstrem,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, kos keseluruhan untuk projek mitigasi jangka sederhana itu dianggarkan mencecah RM500,000.
“Projek mitigasi ini melibatkan kerja-kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang serta pemasangan 62 unit ‘beach container’ secara lima lapisan setinggi kira-kira lima meter bagi melindungi kawasan sepanjang 44 meter yang dikenal pasti mengalami hakisan paling serius.
“Kerja-kerja pemasangan ‘beach container’ ini pula telah bermula pada 8 Julai lalu di kawasan pantai berhadapan Hotel Lone Pine dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 10 Ogos depan,” ujar beliau.










