KDNK kukuh, BNM dijangka kekal OPR pada 2026

KDNK kukuh, BNM dijangka kekal OPR pada 2026

SEBARANG pelarasan kadar faedah berpotensi digunakan sebagai alat untuk menyokong permintaan domestik dan mengurangkan beban kewangan rakyat, khususnya melalui penurunan kos pinjaman.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk 2026, susulan inflasi utama yang dijangka terkawal antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus dan subsidi bahan api yang terus menyerap kenaikan kos global. 

TA Securities berkata, kadar yang masih bersifat akomodatif ini dijangka menyokong permintaan kredit dan kestabilan ekonomi.

Katanya, Malaysia memasuki 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan domestik kekal berdaya tahan, inflasi terkawal dan ekonomi terus mendapat manfaat daripada pemacu pertumbuhan yang pelbagai. 

“Kedudukan kewangan isi rumah dan korporat sihat, manakala sistem kewangan kekal teguh dengan nisbah modal keseluruhan 18.1 peratus dan nisbah liputan kecairan (LCR) 154.8 peratus, menyediakan kapasiti penyerapan kejutan yang mencukupi.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berada pada empat hingga lima peratus, menyokong unjuran pertumbuhan pinjaman sebanyak 5.7 peratuspada 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran berkata, aktiviti pinjaman dijangka dipacu oleh pinjaman pengguna (5.8 peratus) dan pinjaman perniagaan (5.5 peratus). 

“Pertumbuhan sektor swasta, pelaburan perniagaan dan industri teras seperti semikonduktor, pelancongan serta eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka terus menyokong ekonomi.

“Selain itu, bank kekal menjadi tulang belakang ekonomi, dengan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan me­ning­kat 5.4 peratus tahun ke tahun pada 2025. 

“Sektor kewangan juga semakin menyalurkan modal ke segmen strategik, termasuk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), inisiatif kewangan sosial dan sokongan kepada aktiviti iklim dan peralihan,” ujarnya.

Dalam aspek tadbir urus, firma berkata, memperkukuh ketahanan siber dan operasi kekal sebagai keutamaan dalam sektor perbankan, selari dengan pengembangan pesat perkhidmatan kewangan digital. 

“Memandang ke hadapan hadapan, memperkukuh ketahanan siber dan operasi kekal sebagai keutamaan bagi sektor kewangan Malaysia. 

“Ini mencerminkan landskap ancaman yang semakin kompleks dengan pengembangan pesat perkhidmatan kewangan digital, yang meningkatkan pendedahan kepada risiko operasi dan siber. 

“Pihak bank juga menunjukkan tahap akauntabiliti dan ketelusan yang lebih tinggi dalam menangani kes penipuan. Sejak pelaksanaan langkah-langkah diperketatkan, terdapat peningkatan kes di mana mangsa menerima ganti rugi penuh atau separa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN