DALAM menghadapi cabaran pandemik semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pengusaha industri makanan berdepan risiko kerugian dan penutupan operasi.
Namun begitu, situasi mencabar tersebut dimanfaatkan oleh Pengasas KakSal Food, Salmah Abu Bakar, 67 atau lebih dikenali sebagai KakSal sebagai peluang untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran tempatan.
Salmah yang memulakan perniagaan itu selepas mempunyai pengalaman bekerja dengan Felcra Livestock Sdn. Bhd. (2017 hingga 2019) dalam pemasaran produk ikan.
“Dengan modal awal RM500,000, saya mengekalkan produksi sardin walaupun semasa PKP, ketika bekalan ikan terhad dan proses persampelan tidak dapat dilakukan.
“Kami terpaksa ambil risiko, tetapi fokus kami adalah pada kualiti dan keterjaminan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Produk KakSal Food kini merangkumi produk sardin dan mackerel pada harga mampu milik iaitu sardin kecil berharga RM4 hingga RM4.20, manakala saiz besar pada RM9.40 hingga RM10, supaya semua lapisan masyarakat boleh menikmati produk makanan ini setiap hari.
Lebih membanggakan, sardin keluarannya telah memasuki pasar raya besar seperti Mydin, AEON Big, Giant, Sabasun Hypermarket, PDM Muip serta platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok.
Salmah berkata, walaupun terdapat lebih 20 jenama sardin di Malaysia, KakSal Food menonjol kerana produk halal, kualiti terjamin bersih dan inovasi produk.
“Cabaran tetap wujud. Bekalan ikan segar dari Thailand terhad, musim tengkujuh mengganggu produksi dan kos operasi tinggi.
“Namun saya menegaskan prinsip, harga perlu tetap mampu milik, agar sardin boleh dinikmati rakyat Malaysia tanpa kompromi kualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Salmah berkata, industri makanan dan minuman (F&B) tempatan kini berdepan tekanan hebat susulan persaingan dalam talian yang semakin sengit serta kenaikan kos bahan mentah, khususnya ikan yang diimport dari luar negara.
Katanya, model perniagaan hari ini bukan lagi sekadar bergantung kepada jualan dalam talian, sebaliknya memerlukan usaha turun padang untuk menjana pendapatan yang lebih stabil.
“Sekarang memang ada persaingan dalam talian atau e-dagang, tapi kalau nak buat duit betul-betul, kena turun padang, jumpa pelanggan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, satu karton sardin mengandungi kira-kira 100 tin, namun kos operasi semakin meningkat disebabkan harga ikan yang semakin mahal.
“Kebanyakan bekalan ikan diperoleh dari perairan Thailand bagi memastikan kualiti ikan dan status halal yang bersih,” katanya.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan bekalan ikan ketika musim tengkujuh.
“Keadaan laut yang tidak menentu menyebabkan hasil tangkapan berkurang, sekali gus menjejaskan pengeluaran.
“Bila ikan tiada, memang susah. Musim tengkujuh buat bekalan tak stabil, jadi pendapatan pun terjejas,” jelasnya.
Situasi ini menyebabkan aliran kewangan perniagaan tidak menentu, namun Salmah tetap berusaha mengekalkan operasi demi memenuhi permintaan pelanggan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, sardin KakSal kekal sebagai makanan pilihan ramai kerana harganya yang berpatutan dan mudah disediakan.
“Malah, ada sebahagian pengguna yang menjadikan sardin KakSal sebagai hidangan harian.
“Saya sendiri pun suka makan sardin, boleh makan tiap-tiap hari,” katanya.
Salmah berkata, stok sardin yang akan datang pada bulan Mei ini terpaksa dinaikkan harga kerana tekanan harga minyak atau situasi yang berlaku sekarang di Iran.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memberikan harga sardin yang terbaik buat pelanggan setia KakSal,” katanya.
Produk sardin juga diposisi yang penting bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk penerima bantuan seperti MyKasih, kerana ia merupakan sumber makanan mampu milik.
Salmah berkata, pihaknya tidak bercadang menaikkan harga walaupun kos meningkat, demi memastikan produk sardin kekal mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya tidak mahu menaikkan harga. Sardin ni makanan orang susah, jadi kena kekalkan harga mampu milik walaupun dalam industri F&B,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap lesen dan permit berkaitan, termasuk kelulusan untuk pengendalian makanan serta permit bekalan ikan, bagi memastikan operasi perniagaan berjalan secara sah dan selamat. – UTUSAN









