fbpx

Rayu hukuman penjara lebih berat terhadap Lokman Adam 

LOKMAN Noor Adam hadir di mahkamah bagi mendengar kes rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman lebih berat terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tahun lalu. 

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar berhujah hari ini, Lokman yang dikenakan hukuman penjara sebulan, wajar dikenakan hukuman sekurang-kurangnya tiga bulan bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

Katanya, hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak mencukupi kerana ia tidak mencerminkan kepentingan awam atau melindungi integriti sistem kehakiman negara.  

Beliau berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan. 

“Hukuman penjara sebulan tidak mencerminkan kepentingan awam, oleh itu kami merayu supaya hukuman yang lebih tinggi dikenakan untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa sistem keadilan di mahkamah harus dilindungi. 

“Kes ini harus menjadi peringatan walaupun orang ramai berhak menyuarakan pendapat mereka secara rasional, namun, ini perlu dilakukan dalam had yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya semasa berhujah dalam rayuan silangnya hari ini. 

Pada 15 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lokman dipenjara sebulan kerana menghina mahkamah ekoran tindakannya mengugut saksi perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mendapati tindakan Lokman yang membuat laporan polis terhadap saksi, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan menghina mahkamah. 

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman memohon supaya anak guamnya didenda kurang daripada RM2,000, kerana denda melebihi kadar itu akan menghalangnya daripada dicalonkan dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

“Beliau adalah calon yang berpotensi menuju pilihan raya umum nanti. Jangan hilangkan kelayakannya. Berilah anak guam saya peluang supaya beliau tidak ‘menghidu’ pintu penjara,” katanya. 

Selain itu, katanya, laporan polis yang dibuat anak guamnya tidak boleh diklasifikasikan sebagai tindakan menghina mahkamah. 

“Anak guam saya hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila saksi menerusi keterangannya mengakui menerima wang dari ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low,” katanya. 

Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN