Sebuah lagi kapal Malaysia lepasi Selat Hormuz menuju Melaka

Sebuah lagi kapal Malaysia lepasi Selat Hormuz menuju Melaka

IKMAL AZAM THANARAJ ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah lagi kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz sudah bergerak menuju ke destinasi akhir iaitu di Melaka.

Kapal berkenaan adalah antara tujuh kapal yang dimohon Malaysia mendapatkan kebenaran Iran bagi melalui selat berkenaan.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, kapal dengan nama Serifos milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu dilaporkan berada di Teluk Parsi dan dijangka tiba di Melaka pada 21 April ini.

Katanya, kebenaran pelayaran itu menunjukkan kapal lain ada peluang melepasi laluan strategik itu dengan aman, di sebalik ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat.

“Walau apapun, kapal tetap kena tunggu kebenaran dan kalau tiada kemudaratan, pihak berkuasa Iran akan beri ‘lampu hijau’.

“Cuma kita sangat harapkan agar tiga kapal lain yang membawa bahan sumber tenaga termasuk minyak mentah dapat melepasi Selat Hormuz dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Berdasarkan petunjuk di laman sesawang Vesselfinder, kapal Serifos yang dibina pada 2009 dan didaftarkan di Liberia membawa kargo minyak mentah yang dimuatkan dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal Mac lalu.

Utusan Malaysia difahamkan, laluan tersebut dibanjiri kira-kira 2,000 kapal lain yang masih dihalang melalui Selat Hormuz.

Pada 6 April lalu, kapal tangki milik Malaysia yang membawa minyak mentah dari Iraq berjaya melintasi dan dijangka tiba di tanah air pada 17 April ini.

Berdasarkan data Kumpulan Bursa Saham London (LSEG) dan Kpler, kapal minyak itu berjaya melintasi laluan itu selepas Iran menyatakan Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan.

Kapal Ocean Thunder itu memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy.

Dalam pada itu, Ikmal Azam Thanaraj berkata, tiga lagi kapal milik MISC Berhad dalam proses mendapatkan kebenaran menerusi laluan selamat dan dijangka akan belayar dalam masa terdekat, tertakluk kepada pengesahan pihak berkuasa yang terlibat.

Katanya, baki kapal yang terlibat turut berada dalam pemantauan berterusan dengan semua langkah sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan serta kebajikan anak kapal Malaysia sentiasa terpelihara.

Berdasarkan data daripada Kumpulan Bursa Saham London (LSEG) dan Kpler, kapal tangki minyak itu berjaya melintasi laluan itu selepas Iran menyatakan bahawa Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan.

Kapal Ocean Thunder itu memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy.

Selat Hormuz mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global, namun trafik kapal tangki merosot ketara susulan peningkatan ketegangan ketenteraan dan kebimbangan terhadap serangan Iran

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, tentera laut negara itu akan mengambil langkah menyekat perkapalan di Selat Hormuz selepas rundingan antara Washington dan Teheran di Pakistan gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik.

Trump berkata. tentera laut telah diarahkan untuk mengenal pasti dan menghalang mana-mana kapal di perairan antarabangsa yang membayar tol kepada Iran bagi transit melalui selat itu, iaitu laluan strategik yang menghubungkan pengeluar minyak Asia Barat ke pasaran tenaga global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN