AS hentikan perdagangan maritim Iran

AS hentikan perdagangan maritim Iran

SEBUAH bot menghampiri kapal kontena berbendera St Kitts dan Nevis, Marsa Victory, semasa belayar di perairan Selat Hormuz di luar pantai Khasab di utara semenanjung Musandam, Oman.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan Iran dilaksanakan sepenuhnya dengan semua perdagangan ekonomi yang masuk dan keluar dari Iran melalui laut berjaya dihentikan.

Dalam satu hantaran di media sosial, Markas Pusat AS (CENTCOM) yang bertanggungjawab terhadap operasi ketenteraan AS di Asia Barat dan mengetuai operasi terhadap Iran berkata, sekatan itu dikuatkuasakan terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan kawasan pesisir atau pelabuhan di Iran.

“Dianggarkan 90 peratus ekonomi Iran digerakkan oleh perdagangan antarabangsa melalui laut. 

“Dalam tempoh kurang 36 jam sejak sekatan dilaksanakan, pasukan AS berjaya menghentikan sepenuhnya perdagangan ekonomi yang keluar dan masuk ke Iran melalui laut,” kata Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper dalam satu kenyataan.

CENTCOM turut menyatakan lebih 10,000 anggota tentera laut, marin dan udara AS terlibat dalam operasi itu. 

Katanya, ketika 24 jam pertama, enam kapal dagang mematuhi arahan AS untuk berpatah balik dan kembali memasuki pelabuhan Iran.

Agensi berita Reuters melaporkan sebuah kapal pemusnah Tentera Laut AS memintas dua kapal tangki minyak yang cuba meninggalkan Iran pada Selasa, sehari selepas sekatan bermula dan mengarahkan mereka berpatah balik. 

Kapal-kapal tersebut dipercayai berlepas dari pelabuhan Chabahar di Teluk Oman dan dihubungi oleh kapal perang AS melalui komunikasi radio.

Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau berharap sekatan itu akan memaksa pihak berkuasa di Teheran menerima syarat Washington bagi menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran. 

Beliau mengumumkan sekatan tersebut selepas rundingan yang gagal pada hujung minggu lalu antara perunding AS dan Iran di Pakistan, selepas gencatan senjata diumumkan.

Jika lintasan kapal yang tidak berkaitan dengan Iran kembali meningkat, pakar menyatakan kapal tangki yang membawa kargo penuh akan menjadi keutamaan untuk keluar dahulu.

“Terdapat hampir 800 kapal terkandas di situ selama beberapa minggu. Kebanyakannya kini sudah dimuatkan dengan kargo, jadi keutamaan adalah untuk mengeluarkan mereka,” kata Ketua Editor Lloyd’s List, Richard Meade.

KAPAL DISEKAT

Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz kepada kebanyakan perkapalan antarabangsa selepas serangan AS-Israel pada 28 Februari.

Washington dan Teheran mengeluarkan arahan yang bercanggah kepada kapal-kapal yang melalui laluan perkapalan paling kritikal di dunia itu, sekali gus menambah kekeliruan dalam industri perkapalan global.

Dalam satu kenyataan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, semua kapal mesti menggunakan peta baharu untuk navigasi kerana kemungkinan kewujudan pelbagai jenis periuk api laut di kawasan trafik utama. 

CENTCOM sebelum ini mengumumkan dua kapal pemusnah USS Frank E. Petersen dan USS Michael Murphy berada di kawasan itu sebagai sebahagian daripada misi untuk membersihkan periuk api laut berkenaan.

Kapal diarahkan memasuki selat di utara Pulau Larak dan keluar di selatannya sehingga diberitahu kelak, selaras dengan koordinasi tentera laut IRGC.

Empat buah kapal yang mempunyai kaitan dengan Iran menyeberangi Selat Hormuz walaupun bermulanya sekatan laut oleh Tentera Laut AS namun, dua daripadanya dilaporkan berpatah balik, berdasarkan data lokasi yang diterbitkan oleh MarineTraffic.

Kapal tangki membawa kargo yang dikenakan sekatan AS, Rich Starry belayar ke arah timur dari Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui selat itu pada waktu malam, tetapi kemudian menukar arah.

Data MarineTraffic menunjukkan kapal kargo pukal Christianna yang belayar ke arah timur melalui laluan air tersebut pada Isnin selepas singgah di bandar Imam Khomeini di Iran, turut berpatah balik.

Satu lagi kapal tangki, Elpis yang dikenakan sekatan AS, melintasi selat itu pada Selasa dan dipercayai mungkin datang dari pelabuhan Bushehr di Iran. Data penjejakan menunjukkan kapal itu berada dalam keadaan pegun di bahagian timur selat.

Menurut data penjejakan kapal oleh Kpler, sebanyak 279 kapal melalui Selat Hormuz antara 28 Februari dan 12 April, jauh lebih rendah berbanding purata sebelum perang iaitu sekitar 138 kapal sehari.

Gencatan senjata antara AS dan Iran mula berkuat kuasa pada 8 April. Namun, hanya 45 kapal memasuki atau keluar dari selat itu sejak itu.

Usaha menjejak lokasi kapal di rantau itu juga semakin rumit kerana sesetengah kapal mungkin memalsukan isyarat lokasi mereka atau menghantar data yang tidak lengkap.

Data penjejakan juga menunjukkan sekurang-kurangnya empat lagi kapal yang tidak mempunyai kaitan jelas dengan Iran  melintasi selat itu sejak sekatan bermula.

Menurut data Kpler, 22 kapal diserang di Selat Hormuz sejak perang bermula. Lapan kapal diserang di perairan UAE, enam di perairan Oman, dua di Iraq dan Qatar serta masing-masing satu di Bahrain, Kuwait, Arab Saudi dan Iran.

Anggota Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa yang mewakili pemilik kapal, Jacob Larsen berkata, beliau bimbang terhadap risiko peningkatan konflik yang boleh melibatkan serangan langsung ke atas kapal akibat sekatan AS.

Setiausaha Agung Dewan Perkapalan Antarabangsa, Thomas Kazakos turut menegaskan keperluan untuk memastikan ada pengesahan jelas keselamatan pelayaran untuk setiap kapal dan anak kapal dijamin.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×