PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempelawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, pelawaan itu disampaikan dalam pertemuannya dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden di Abu Dhabi semalam.
“Dalam pertemuan itu, saya maklumkan kepada beliau (Sheikh Mohamed) mengenai pembangunan Bandar Malaysia yang dibuat secara beberapa fasa dan pakej.
“Saya juga pelawa UAE untuk sama-sama terlibat dalam pakej-pakej yang ditawarkan,” kata Perdana Menteri seperti dilaporkan Bernama.
Menurut Ismail Sabri, barisan Kabinet juga bersetuju untuk ‘revisit’ atau melihat semula pembangunan Bandar Malaysia dengan prinsip bahawa projek itu tidak dikuasai oleh satu atau dua syarikat sahaja.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri juga kini berbincang mengenai cadangan pembangunan dan pakej-pakej yang akan dimuktamadkan kelak.
“Bandar Malaysia pun ada syarikat yang mengendalikannya. Pada dasarnya, cadangan pembangunan tidak jauh berbeza dengan yang sebelum ini. Gambaran mengenai bagaimana projek ini sudah ada dan pembentangan sudah dibuat…detail (butirannya) sahaja belum,” katanya.
Bandar Malaysia merupakan pembangunan seluas 196 hektar oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) yang dimiliki sepenuhnya oleh TRX City Sdn. Bhd. dan disasarkan sebagai pembangunan dengan perancangan pelan induk dan berkelas dunia di Kuala Lumpur.
Kelmarin, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, UAE pada pukul 8.25 pagi untuk lawatan kerja selama empat hari di negara Timur Tengah itu.
Ketibaan beliau disambut Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohammed, Al Mazrouei, Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Ismail Sabri memulakan lawatan beliau dengan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang fokus utama ialah potensi kerjasama antara ADNOC dan Petronas Malaysia dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.
Untuk rekod, pada tahun 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat
Nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE pada tahun tersebut juga meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (US$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (US$4.93 bilion) pada 2020. –UTUSAN