KANGAR: PKR terpaksa mengakui dan menghormati keputusan mahkamah yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Asing (VLN).
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya proses mahkamah itu dilihat adil maka keputusan hakim seharusnya dihormati oleh setiap pihak.
Bagaimanapun katanya, keputusan mahkamah itu bukan bermaksud telah dimuktamadkan kerana proses tersebut perlu diikuti lagi selepas ini memandangkan terdapat peringkat rayuan dalam kes sebegitu.
“Setakat ini ada orang pertikai isu sampul dan lain-lain namun kita terpaksa akur dan hormat keputusan mahkamah. Tapi kita mahu peguam negara menjalankan tugasnya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ahli Parlimen Kangar di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem VLN.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid, 69, didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. –UTUSAN