Pendakwaan fail saman lucut hak harta RM156,000 milik bekas

Pendakwaan fail saman lucut hak harta RM156,000 milik bekas pengarah 1MDB 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memfailkan permohonan melucut hak harta berjumlah RM156,500 di dalam empat akaun bank milik bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Casey Tang Keng Chee, yang dikatakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low. 

Dalam sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous memohon di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah supaya kesemua harta tersebut dilucuthakan. 

Ini bagi membolehkan mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas semua harta tersebut untuk menuntutnya di mahkamah sebelum perbicaraan bermula.  

Menerusi permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada November tahun lalu, pihak pendakwaan memohon melucuthakan wang masing-masing bernilai RM89,300 di Maybank Islamic Berhad; RM13,000 (CIMB Bank Berhad); RM600 (RHB Bank Berhad) dan RM53,600 (Ambank Berhad). 

Ini termasuk kenderaan Subaru XV2.01 yang didaftarkan atas nama Keng Chee yang telah ditarik pada Januari 2021, selain banglo di Bandar Kinrara dan pejabat kedai di Bandar Puching Jaya, Selangor. 

Notis kepada pihak ketiga telah pun diwarta dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 1 Ogos 2022.  

Bagaimanapun, hanya satu pihak ketiga daripada Maybank Islamic Berhad yang diwakili peguam Muhammad Al Muazzim Azmin hadir ke mahkamah untuk menuntut banglo atas nama Keng Chee. 

Keng Chee pula tidak hadir dalam sebutan kes di mahkamah dan telah melarikan diri ke luar negara. 

Beliau termasuk Jho Low dan beberapa individu lain didakwa terlibat dalam penyelewengan dana berbilion ringgit daripada 1MDB. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang dalam perbicaraan yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, di mana Keng Chee didakwa menyeleweng dana tersebut dengan restu Najib.  

Kerajaan memfailkan saman pelucuthakan terhadap Keng Chee pada November 2021 selaras subseksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti 2001 (Akta 613). 

Sementara itu, Noor Zalizan memohon kepada mahkamah untuk menyerahkan dokumen dan afidavit sokongan kepada pihak ketiga dalam masa dua minggu. 

Mahkamah kemudian menetap 12 Oktober ini untuk tarikh sebutan kes seterusnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya