PETALING JAYA: Pembangkang sebenarnya sudah lupa Pilihan Raya Umum (PRU) pernah diadakan pada hujung tahun yang kononnya terdedah kepada bencana banjir, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, namun pihak pembangkang kini menghasut rakyat di seluruh negara dengan mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada akhir tahun ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.
“Mereka lupa bekas Perdana Menteri terakhir mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999, tidak pula jadi isu besar. Terbaru tahun lepas, Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan PRU15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab dan ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi pilihan raya.
Rafizi mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN yang dilaporkan berkata, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, sikap pembangkang sering menghasut rakyat pada setiap hari kerana sebenarnya takut kalah kerana kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Dr. Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain gagal melaksanakan manifesto.
Oleh itu beliau berkata, PH mengambil peluang dalam tempoh akhir penggal Parlimen ke-14 dengan menjelajah ke seluruh untuk menghasut rakyat agar membencikan BN
“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan. BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.
“Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN,” ujarnya.
Namun katanya, BN perlu membuktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya di samping rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata. – UTUSAN










