Pelajar tingkatan satu dakwa nyaris diculik tiga lelaki -

Pelajar tingkatan satu dakwa nyaris diculik tiga lelaki

LOKASI di hadapan sebuah kedai runcit yang didakwa seorang pelajar lelaki bahawa dia nyaris diculik di pekan Tanjung Dawai, Sungai Petani di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar tingkatan satu mendakwa hampir diculik tiga lelaki yang menaiki sebuah kenderaan dalam kejadian di Tanjung Dawai, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu berlaku ketika pelajar lelaki berusia 13 tahun itu sedang menunggu van sekolah di hadapan sebuah kedai runcit di pekan Tanjung Dawai.

Menurutnya, dia menunggu van itu bersendirian sebelum dihampiri kenderaan berwarna kelabu dinaiki tiga lelaki terbabit.

“Tiba-tiba, sebuah kereta warna kelabu yang dipandu laju dari arah bangunan Arked Mara berhenti di hadapan saya sebelum dua lelaki turun sambil meminta saya menaiki kenderaan itu,” dakwa pelajar  itu ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia yang tidak mengenali dua individu tersebut kemudian bertindak mengundurkan diri.

“Mereka sempat memegang bahu sebelum saya meronta dan berlari pulang ke rumah di Kampung Kepala Tanjung yang terletak kira-kira 100 meter untuk memaklumkan kepada ibu.

“Melihat saya berjaya melepaskan diri, dua lelaki itu kembali memasuki kenderaan itu sambil dipandu pergi oleh seorang lagi kawan mereka,” dakwanya.

Sementara itu, ibu pelajar terbabit berusia 32 tahun berkata, dia cemas apabila melihat anaknya berlari pulang ke rumah dengan wajah pucat sambil menangis teresak-esak.

“Saya terkejut melihat keadaannya seperti dalam ketakutan sebelum memintanya menenangkan diri. 

“Selepas beberapa minit kemudian dia memaklumkan ada orang cuba menculiknya menggunakan sebuah kenderaan,” katanya.

Tambahnya, dia seterusnya meminta suaminya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Saya terkejut dengan kejadian ini yang mana suami saya yang bekerja sebagai nelayan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa sehingga membuatkan orang berdendam dan cuba menculik anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan, namun enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya