PEKAN: Ramai pekebun tidak sanggup lagi meneruskan tanaman getah sebagai sumber pendapatan apabila harga komoditi itu tidak pernah stabil dan kini berada paras terendah iaitu RM2.30 hingga RM2.40 sekilogram.
Mereka berpendapat, bertukar kepada kelapa sawit lebih menguntungkan apabila mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan untuk 2.42 hektar ladang berbanding RM1,200 bagi keluasan sama untuk kebun getah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak jati Kampung Tasik Mentiga, Akid Huat, 64, berkata, akibat harga tidak menentu, semakin ramai pekebun kecil di sini beralih kepada tanaman kelapa sawit termasuk dirinya yang sudah berbuat demikian bermula 1999.
Dia yang sejak berusia 25 tahun mengusahakan getah berkata, perubahan itu bukan hanya membabitkan pekebun di Tasik Mentiga tetapi ramai rakan-rakan di luar Pahang juga.
“Saya berbual dengan ramai rakan di luar negeri ini yang berpendapat sama iaitu ladang sawit lebih lumayan berbanding getah. Ada 10 pokok sawit belakang rumah pun itu sudah duit, tapi tiada apa bagi 10 batang pokok getah.
“Saya lihat jika industri getah ini terus kekal ‘suram’ lagi 15 tahun tiada lagi orang akan mengusahakan kebun getah,” katanya.
KESENGSARAAN
Tok Batin Kampung Tasik Mentiga, Joheng, 62, pula berkata, kesengsaraan pekebun getah menyebabkan ada pekebun di kampung itu yang menanam getah dalam setahun dengan ketinggian 1.8 meter dibuang dan diganti dengan kelapa sawit.
“Jika tanam sawit, dalam jangka masa seawal dua tahun setengah sudah boleh makan hasil, tapi getah perlu tunggu enam tahun.
“Jika buat sawit, anggaran pendapatan yang mampu diperoleh ketika ini untuk 2.42 hektar ladang kira-kira RM3,000 sebulan.
“Untuk getah jika harga RM3 sekilogram, boleh dapat RM1,200 sebulan untuk 2.42 hektar. Maknanya sawit lebih lumayan, kerja pun tidak banyak berbanding toreh getah,” katanya yang beralih ke sawit sejak 2003.
Katanya yang menoreh sejak berusia awal 20-an, klon pokok getah ketika ini juga kurang berkualiti jika dibandingkan dengan klon 600 yang dikeluarkan sekitar tahun 1987.
“Pada saya klon 600 adalah terbaik, sekarang sudah tiada pokok klon ini. Walaupun pada peringkat awal susu dihasilkan kurang, tapi apabila matang, susu banyak. Pokok klon ini juga paling tahan penyakit, mati tetap mati tapi ia boleh bertahan sehingga 26 tahun.
“Klon sekarang (klon 350), sukar untuk dijangkakan. Hari ini toreh, dua ke tiga minggu susu susu sudah kering. Jangka hayatnya tidak menentu tapi tidak lama, ada setahun pun pokok sudah mati,” katanya.
MENOREH
Bekas penoreh, Remah Jaafar, 74, berkata, ketika berusia lapan tahun, dia membantu arwah bapanya menoreh getah.
“Pada ketika itu, memang tiada pekerjaaan lain dan getah sumber pendapatan.
“Masa itu buat getah keping, mesin buat getah keping pun saya beli dan masih tersimpan sehingga kini. Saya tidak akan jual sebab ia kenangan saya dalam industri ini,” katanya.
Remah berkata, ketiadaan pewaris dan minat generasi muda untuk menoreh cukup membimbangkan terutama kepada pengeluaran getah negara pada masa akan datang.
Katanya, di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga ini misalnya, dahulu semua 300 penduduk adalah pekebun getah, namun kini lebih 80 peratus bertukar kepada kelapa sawit.
Dianggarkan Malaysia mempunya kira-kira 500,000 pekebun kecil getah dengan keluasan 1.1 juta hektar dan eksport getah negara mencecah RM71 bilion pada 2021 dan menjadikan ia industri penting yang turut menyumbang kepada ekonomi negara. – UTUSAN










