Lelaki tular buang sampah atas jambatan ditahan -

Lelaki tular buang sampah atas jambatan ditahan

TANGKAP layar menunjukkan seorang pemandu lori membuang sampah ke dalam sungai di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori yang tular dalam sebuah rakaman video kerana tindakannya membuang sampah ke dalam sungai di Pontian, ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 7 malam semalam di sekitar bandar Pontian selepas pencarian dilakukan selama lima jam.

Pencarian turut dilakukan di kediamannya, namun, tidak membuahkan hasil sebelum dia berjaya dihubungi.

“Apabila ditemui dan ditahan, suspek terus dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan serta siasatan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun, semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama-sama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderaan itu di atas sebuah jambatan sebelum memikul dan membuang sampah ke dalam Sungai Wak Rabun, Batu 33, Pontian.

Tindakan tersebut dirakam orang awam sebelum rakamannya dimuat naik dalam laman sosial Facebook sehingga turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kemudian menghubungi Kamarul Zaman untuk meminta bantuan pihak polis mengesan suspek.

“Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan bagi mengesan suspek. Suspek kemudian dibebas dengan jaminan polis selepas dirakam percakapannya.

“Tindakan kompaun terhadap suspek dibuat mengikut Rule 52 LN 166/59, iaitu membuang sesuatu barang dari kenderaan selain memandu tanpa lesen GDL. Perbuatan membuang sampah dari kenderaan adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000,” jelasnya.

Lori milik suspek juga telah dihantar Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang di bawah mereka.

“SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan ambil tindakan dan boleh kompaun sehingga maksimum RM10,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang dan sampah sepatutnya dibuang di tempat khas, namun dia mengambil jalan mudah.

“Suspek sudah berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Mungkin sebelum ini dia buat, orang tidak nampak,” kataya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.