Konflik gajah, manusia

Konflik gajah, manusia

SEORANG pekebun, Ahmadul Masrah Alias, 27, memeriksa tanaman pisang yang diusahakannya sejak dua tahun lalu musnah akibat diceroboh gajah liar di Kampung Basung, Hulu Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Bantu kami. Setiap masa kami dalam ketakutan. Bagi yang ada kebun pula, kasihan, tak sempat nak rasa hasil, semuanya musnah.”

Keluhan itu disuarakan penduduk kampung dan pekebun di Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu ekoran konflik yang semakin ‘menjadi-jadi’ antara gajah dan manusia sejak akhir-akhir ini. Ini meng­akibatkan mereka menanggung kerugian apabila tanaman dimusnahkan haiwan terbabit.

Masalah yang berlarutan itu disebabkan kawasan hutan yang semakin mengecil dan sumber makanan yang kurang mendorong haiwan berkenaan menceroboh kawasan pertanian penduduk termasuk menghampiri kediaman pada waktu malam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum ini mene­rima antara 100 hingga 120 aduan ancaman haiwan berke­naan setiap tahun.
Malah dilaporkan sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan sepanjang tempoh 2015-2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, kehilangan habitat dan sumber makanan antara punca utama berlakunya pencerobohan gajah di kawasan pertanian serta penempatan manusia.

Sumber Perhilitan juga men­dakwa, konflik antara gajah dengan manusia, khususnya di kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Ulu Tembe­ling berpunca daripada kemusnahan habitat akibat penebangan hutan untuk pembalakan komersial dan pembangunan.

Penebangan hutan juga didakwa berlaku di kawasan Hutan Simpan Tekal (Ulu Tembeling) dan Hutan Simpan Lepar (Lepar) sehingga menyebabkan haiwan liar kehila­ngan habitat asal.

Tambah menakutkan, haiwan itu yang dianggarkan mempunyai populasi 1,680 ekor di Semenanjung semakin ‘berani’ menceroboh rumah pen­duduk.

Di Hulu Terengganu lebih 30 pekebun di Kampung Basung bimbang untuk bercucuk ta­nam apabila kawanan gajah liar kerap kelihatan sejak empat tahun lalu.

Seorang pekebun, Ahmadul Masrah Alias, 27, berkata, dia kerugian kira-kira RM30,000 setelah kebun pisang seluas 0.8 hektar diusahakannya sejak dua tahun lalu musnah dalam kejadian itu.

“Hati mana tak sedih lihat 1,200 pokok pisang pelbagai jenis seperti nangka dan jelai berangan musnah sekelip mata. Lapan pokok durian Musang King serta durian kampung turut musnah, begitu juga dengan 70 pokok kelapa sawit yang sebahagiannya hampir keluarkan hasil.

“Kawanan gajah muncul hampir setiap hari sejak tiga minggu lalu. Sebelum ini, ha­nya berkeliaran di kawasan kebun berhampiran hutan tetapi Ahad lalu mula ceroboh masuk ke kebun saya yang terletak bersebelahan jalan utama.

“Bukan sahaja pekebun tetapi keselamatan penduduk kampung serta pengguna jalan raya juga perlu diambil kira,” katanya.

Bagi pekebun kelapa sawit, Manan Yunus, 56, dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana tidak mahu lagi terus menanggung kerugian.

Katanya, dia kerugian kira-kira RM30,000 apabila 55 pokok kelapa sawit yang diusahakan di kawasan berkeluasan 0.4 hektar dimusnahkan gajah.

Seorang peserta projek Tanaman Getah Berkelompok Sungai Cerluk, Kampung Basung, Mohd. Salleh Hamid, 49, berkata, keseluruhan 17 peserta putus asa untuk usahakan tanaman kerana ancaman gajah liar tiada berpenghujung.

“Kami tanam secara berperingkat sejak 2020 dengan setiap peserta mengeluarkan modal sekitar RM5,000 hingga RM6,000 termasuk kos upah tanam pokok serta racun. Malangnya dimusnahkan gajah liar.

“Jika tiada serangan gajah, getah seluas 0.8 hektar diusahakan setiap peserta dijangka peroleh hasil kira-kira RM6,000 sebulan pada 2025,” jelasnya.

Di Perak, kes gajah men­ceroboh kampung di Hulu Perak semakin ‘menakutkan’ apabila ia bukan sahaja memusnahkan kebun tetapi turut mencederakan orang awam.

Pada Ogos lalu, seorang wanita Orang Asli berusia 30 tahun di Kampung Katong RPS Kemar cedera parah diserang gajah sehingga mangsa mene­rima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Tinjauan Utusan Malaysia di perkampungan Orang Asli RPS Kemar mendapati semua penduduk di 15 kampung dalam kawasan tersebut ‘ketakutan’ dengan ancaman gajah yang semakin kerap memasuki perkampungan mereka.

Kampung tersebut ialah Kampung Senangit, Kampung Badak, Kampung Rantau, Kampung Lerlar, Kampung Shah, Kampung Bal, Kampung Ralak, Kampung Penderas, Kampung Banun, Kampung Lerdiau, Kampung Jarau Lama, Kampung Chuwau, Kampung Katong, Kampung Akei serta Kampung Jarau Baru.

Di Kelantan, konflik manusia dan gajah semakin menjadi-jadi apabila haiwan itu ke­rap ‘menceroboh’ masuk kebun milik penduduk.
Februari lalu seekor gajah berusia 30 tahun dan seberat dua tan menceroboh masuk ke kawasan kebun milik penduduk Kampung Jerek di Jeli.

Di Kuala Krai beberapa buah kampung di sekitar Lata Rek seperti Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan berdepan ancaman haiwan sejak 26 Mei lalu.
Pada 24 Ogos lebih 500 penduduk di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang ketakutan apabila seekor gajah liar jantan menceroboh masuk kebung milik penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN