Hari penentuan Ahmad Zahid

Hari penentuan Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini akan membuat keputusan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu dipanggil membela diri atau dibebaskan di atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).

Sekiranya Presiden UMNO itu dikehendaki membela diri, tidak bermakna beliau disabitkan bersalah sehinggalah keputusan ditentukan di akhir pembelaan kelak kerana terlebih dahulu perlu berdepan prosiding untuk menafikan kesemua pertuduhan rasuah dihadapinya.

Jika nasib menyebelahi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan keputusan lepas dan bebas, beliau boleh menarik nafas lega dan tidak perlu lagi membela diri.

Pada 11 Ogos lalu, pendakwaan menutup kes itu selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lalu.

Sepanjang prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Yazid Mustafa, saksi pendakwaan ke-17, David Tan mencuri tumpuan apabila mendedahkan beberapa pemimpin politik termasuk menteri Kabinet disebut sebagai salah seorang penerima dana daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN) itu.

Antaranya bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh penama-penama tersebut.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN